Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM450 juta bagi membiayai kerja baik pulih dan membina rumah baharu untuk petugas Felda di tanah rancangan.
Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan kebajikan dan keselesaan petugas Felda terus diberi perhatian.
Selain memperkukuh peranan mereka dalam pembangunan komuniti peneroka.
Menurutnya, penyediaan kediaman yang lebih selesa kepada petugas Felda penting bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Ia sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada warga peneroka.
“Saya umumkan peruntukan besar berjumlah RM450 juta untuk membiayai baik pulih dan bina rumah baharu rumah petugas Felda di tanah rancangan,” katanya dipetik Harapan Daily.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, Maran pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, PMX turut mengumumkan peruntukan tambahan RM20 juta bagi Projek Sentuhan Kasih Felda untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan generasi baharu Felda.
Menteri Kewangan berkenaan berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi melaksanakan dua projek di Laka Selatan, Kedah yang melibatkan 86 unit rumah dan Palong, Negeri Sembilan (16 unit).
“Untuk kebajikan dan kesejahteraan generasi baharu Felda, saya luluskan tambahan RM20 juta bagi menyelesaikan masalah ini,” ujarnya lagi.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=otP-bK-wUrc&ra=m
