MADANI TERKINI | JEREBU MAKIN BURUK, PMX HUBUNGI PRABOWO SEGERA

Susulan situasi jerebu yang semakin membimbangkan seluruh negara, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi mengambil langkah mengatasi masalah itu dengan segera.

PMX berkata, langkah segera itu perlu dilakukan memandangkan keadaan jerebu di negara ini ketika ini berada pada tahap membimbangkan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Tinjauan Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan pada Khamis.

“Berkaitan jerebu, ia memang berada pada tahap membimbangkan.

“Saya sudah menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo dan beliau juga bersetuju untuk mengambil langkah-langkah yang perlu.

“Pada masa sama, Menteri Luar, Dato’ Seri Mohamad Hasan dan Menteri (Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup juga menghubungi rakan sejawat mereka,” katanya dipetik Harapan Madani.

Malah, kerajaan menyatakan kesediaan sejak beberapa minggu lalu untuk memberikan kerjasama berhubung isu itu memandangkan jerebu pada tahap membimbangkan, sekali gus memberi kesan terhadap kesihatan rakyat.

“Kita meningkatkan hampir saban hari operasi pembenihan awan (OPA) oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan beberapa agensi lain berkaitan tetapi keadaan masih merunsingkan.

“Namun, kita akan mencuba lagi. Malah, tadi saya sekali lagi meminta Menteri Luar untuk menghubungi Sekretariat ASEAN sekiranya boleh mengadakan lagi mesyuarat membabitkan menteri-menteri berkaitan alam sekitar ASEAN.

“Ini semua langkah yang kita ambil dan pantau selain cuba untuk melaksanakan langkah-langkah sepatutnya,” ujarnya lagi.

Ancaman jerebu kini bukan sekadar di tahap membimbangkan, malah kebakaran hutan dan tanah di Indonesia yang masih berterusan menjejaskan tahap kesihatan penduduk bukan sahaja di Malaysia, malah turut dirasai Singapura dan Brunei.

Untuk rekod, Singapura yang akan menganjurkan perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix hujung minggu ini juga dilanda jerebu kuat hingga bacaan IPU berada pada tahap 192 setakat jam 3 petang pada Khamis.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=aIpGjTg9lPM&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *