Pengukuhan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan China ditingkatkan menerusi pertambahan penggunaan mata wang tempatan.
Iaitu ringgit dan yuan dalam perdagangan dua hala sebagai langkah mengurangkan pendedahan kepada kejutan ekonomi global, kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kadar penggunaan ringgit dan yuan dalam urus niaga perdagangan Malaysia-China meningkat daripada kurang lima peratus kepada 18 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan antara kedua-dua negara.
“Tidak semestinya usaha penyahdolaran dolar masih penting dari segi urus niaga kewangan.
“Tetapi kami telah menggunakan mata wang dalam denominasi tempatan, Yuan dan Ringgit, dalam kebanyakan urus niaga kami.” katanya dipetik Harapan Madani.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis pelancaran Pusat Pembangunan Global (GDC) oleh Ant International di TRX, Kuala Lumpur pada Rabu.
PMX yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama Malaysia dan China tidak terhad kepada hubungan diplomatik.
Malah, ia melibatkan pelaksanaan dasar yang lebih tersusun bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Perdana Menteri turut memaklumkan, bahawa beliau telah menerima jemputan daripada Premier Li Qiang untuk merasmikan bersama persidangan teknologi penting di Shanghai.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa sistem kewangan global yang diwarisi banyak negara membangun sering memberi kelebihan kepada syarikat multinasional berbanding perusahaan kecil, selain terlalu bergantung kepada dolar Amerika.
Mengulas cabaran ekonomi dunia, PMX berkata, krisis kewangan global 2008 membuktikan bagaimana masalah yang bermula di Amerika Syarikat mampu memberi kesan kepada negara lain yang tidak terlibat secara langsung.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menyentuh ketidaktentuan geopolitik semasa yang berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi global.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar lebih banyak inovasi dalam sektor kewangan diperkenalkan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi, mengurangkan risiko kejutan luaran serta memperluaskan akses kepada pembiayaan mikro demi manfaat masyarakat dan perusahaan kecil.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=j0AIFRlW3oI&ra=m
