MADANI TERKINI | BUDI MADANI TERIMA LEBIH 18,000 PERMOHONAN TAMBAHAN KUOTA DIESEL BERSUBSIDI

Portal rasmi BUDI MADANI menerima lebih 18,000 permohonan bagi tambahan kuota diesel bersubsidi sebanyak 100 liter sebulan, daripada pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, setakat jam 10 malam.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan awal BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang memasuki hari kedua pada Ahad, berjalan lancar tanpa sebarang masalah teknikal.

Setakat ini, katanya, lebih 40,000 transaksi direkod membabitkan pengguna yang memanfaatkan inisiatif itu sejak ia dilaksanakan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan awal BUDI Diesel di Stesen Minyak PETRONAS NKVE arah Damansara yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.

Menurutnya, permohonan tambahan kuota boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi BUDI MADANI.

Bagaimanapun, katanya, individu yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan khidmat pegawai di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Transformasi Bandar (UTC), dan kaunter yang disediakan beberapa syarikat minyak.

Tambahnya lagi, kerajaan turut menyediakan kemudahan pemindahan kuota subsidi kepada pengguna sebenar sekiranya pemilik berdaftar kenderaan berbeza dengan individu yang menggunakan kenderaan berkenaan.

“Bagi pemindahan kuota, ia boleh dimohon melalui portal sama. Kita akan memastikan kuota itu dipindahkan kepada pengguna sebenar,” katanya dipetik Media Perpaduan.

Menurutnya lagi, selepas pemindahan dibuat, pengesahan di stesen minyak akan dilaksanakan melalui nombor kad pengenalan pengguna yang dipautkan dengan kuota berkenaan.

“Kuota akan ditetapkan kepada nombor kad pengenalan pengguna baharu.

“Jadi apabila digunakan di stesen minyak, sistem akan mengenal pasti kuota itu telah dipindahkan.

“Namun, jumlah kuota kekal berdasarkan kenderaan dan ia hanya boleh digunakan oleh individu yang telah ditetapkan,” ujarnya lagi.

Amir Hamzah turut memaklumkan, setakat ini, tiada sebarang isu teknikal dilapor membabitkan sistem atau pengusaha stesen minyak.

Malah katanya, kerajaan akan terus memberi tumpuan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan lancar menjelang 1 Julai ini.

Pelaksanaan awal BUDI Diesel bermula Sabtu di Semenanjung dengan pengguna menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter bagi kuota anjal hingga 200 liter, sebelum kadar itu diselaraskan kepada RM2.10 seliter mulai Rabu ini.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=CxPp6rkpuNc&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *