PETALING JAYA – Sistem pengimbas keselamatan di lapangan terbang tidak direka untuk mengesan atau mengklasifikasikan dadah, sebaliknya berfungsi mengenal pasti ancaman seperti bahan letupan dan senjata api mengikut piawaian keselamatan penerbangan antarabangsa.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, semua proses saringan keselamatan di lapangan terbang Malaysia dilaksanakan mengikut Civil Aviation Security Regulations 2019, Program Keselamatan Penerbangan Awam Kebangsaan (NCASP) serta piawaian Annex 17 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Beliau menjelaskan, pegawai Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) hanya dibenarkan mengarahkan bagasi dibuka untuk pemeriksaan fizikal sekiranya imej imbasan menunjukkan unsur mencurigakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurutnya, MAHB akan mengambil tindakan tegas sekiranya siasatan pihak berkuasa mendapati wujud penglibatan “orang dalam” dalam kes penyeludupan dadah membabitkan seorang pembantu juruterbang yang ditahan di Indonesia.
Katanya, MAHB memberi kerjasama penuh kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi berkaitan bagi membantu siasatan, selain akan menilai semula prosedur atau mengambil tindakan terhadap kakitangan jika diperlukan.
Sebelum ini, AKPS memaklumkan SOP saringan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan diteliti semula selepas seorang kru penerbangan Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram MDMA (ekstasi) dan 2.7 gram syabu dalam bagasinya. Suspek turut didapati positif syabu, ekstasi dan kokain.
Siasatan awal mendapati suspek telah melepasi semua proses saringan keselamatan di KLIA tanpa sebarang imej mencurigakan dikesan oleh mesin pengimbas sebelum berlepas ke Indonesia pada 28 Julai lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Norazman Mahmud berkata, setakat ini tiada pengesahan bahawa suspek telah menjalani atau melepasi ujian saringan air kencing sebelum mengendalikan penerbangan berkenaan kerana perkara itu masih dalam siasatan.
Beliau berkata, semua syarikat penerbangan yang memiliki Air Operator Certificate (AOC) diwajibkan melaksanakan Program Pengurusan Alkohol dan Dadah (AADMP) yang merangkumi ujian alkohol dan dadah berasaskan risiko, selain tertakluk kepada audit serta pemantauan berkala bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan keselamatan penerbangan.
