KUANTAN – Polis berjaya menumpaskan sindiket curi kabel solar dan komponen telekomunikasi dikenali sebagai Geng Lakino Garuda selepas menahan sembilan lelaki dalam beberapa siri serbuan di Pahang dan Selangor, sekali gus menyelesaikan 21 kes yang membabitkan kerugian hampir RM1 juta.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang menerusi serbuan di Kuantan, Shah Alam dan Sepang antara 27 Jun hingga 17 Julai lalu.
Menurut beliau, semua suspek berusia antara 26 hingga 52 tahun terdiri daripada empat warga tempatan, empat warga Indonesia dan seorang warga China. Siasatan awal mendapati enam daripada mereka terlibat secara langsung dalam kegiatan mencuri kabel solar serta komponen telekomunikasi, manakala tiga lagi dipercayai bertindak sebagai pembeli barangan curi.
Katanya, dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati tujuh daripada mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM500,000 termasuk sebuah lori, sebuah pacuan empat roda, lebih 1,500 keping cip elektronik, 21 gulung kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), 40 gulung cooper tape, 23 unit card cage elektronik, tiga bilah parang dan sembilan telefon bimbit.
Azry berkata, sindiket itu dipercayai terbabit dalam 21 kes yang dilaporkan antara Februari hingga Jun lalu melibatkan lapan kes di Perak, lima kes di Pahang, lima kes di Negeri Sembilan dan tiga kes di Terengganu.
Beliau berkata, di Pahang sahaja, kumpulan itu dikaitkan dengan lima kes membabitkan kawasan ladang solar di Pekan dan beberapa lokasi di Kuantan termasuk Gebeng, Gambang serta Bandar Putra, melibatkan kira-kira 98,000 meter kabel solar dan komponen telekomunikasi dengan jumlah kerugian dianggarkan RM912,000.
Menurutnya, polis masih memburu dua lagi lelaki warga tempatan yang dipercayai turut menjadi anggota sindiket berkenaan. Kesemua suspek yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi.
