DUNIA MAYA TANPA KAWALAN, DUNIA NYATA JADI MANGSA

Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sembilan bulan yang dikenalinya menerusi aplikasi TikTok.

Berdasarkan fakta kes, kejadian terbongkar selepas seorang individu membuat laporan polis mengenai kehilangan anak perempuannya yang dipercayai menaiki motosikal bersama tertuduh, lelaki yang baru dikenali melalui aplikasi berkenaan.

Mangsa kemudian memaklumkan bahawa dia telah dirogol di rumah sewa tertuduh di Inanam pada jam 7 malam, 7 Disember lalu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan selepas mengambil kira faktor usia mangsa serta keseriusan kesalahan tersebut.

Kes ini bukan sekadar jenayah seksual individu, tetapi mencetuskan kebimbangan lebih luas mengenai keselamatan remaja dalam era digital.

Perkenalan secara maya yang pada awalnya kelihatan tidak berbahaya akhirnya membawa kepada eksploitasi fizikal di dunia sebenar.

Hakikat bahawa mangsa sanggup meninggalkan rumah selepas berkenalan secara dalam talian menunjukkan betapa mudahnya manipulasi emosi berlaku terhadap golongan bawah umur.

Walaupun undang-undang jenayah sedia ada memperuntukkan hukuman tegas terhadap kesalahan seksual melibatkan bawah umur.

Pendekatan menghukum selepas kejadian berlaku dilihat tidak lagi memadai dalam menangani risiko yang berpunca daripada ruang digital tanpa kawalan berkesan.

Kes ini turut menguatkan desakan supaya pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian atau Online Safety Act (ONSA) diperkasakan.

ONSA bertujuan memperkukuh kawal selia terhadap platform digital dengan meletakkan tanggungjawab lebih besar kepada penyedia perkhidmatan dalam talian bagi mencegah aktiviti seperti ‘grooming’, eksploitasi seksual dan penyebaran kandungan berbahaya.

Melalui kerangka itu, pengawal selia diberi kuasa memastikan platform media sosial mengambil langkah proaktif melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak dan remaja.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan hasrat untuk melarang individu bawah 16 tahun membuka akaun media sosial bermula 2026 sebagai langkah mengurangkan pendedahan kepada risiko digital.

Langkah itu dilihat sebagai usaha pencegahan awal.

Memandangkan tanpa had umur minimum yang dikuatkuasakan secara tegas, remaja masih boleh berkomunikasi dengan individu dewasa yang tidak dikenali secara peribadi.

Secara perundangan, hubungan seksual dengan individu bawah umur merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan tanpa mengira persetujuan.

Namun dalam konteks digital, cabaran utama ialah menghalang interaksi berisiko sebelum ia berkembang menjadi jenayah fizikal.

Kes di Kota Kinabalu ini menjadi peringatan bahawa dunia digital bukan sekadar ruang hiburan dan ekspresi, tetapi juga medan yang boleh dieksploitasi oleh pemangsa.

Tanpa gabungan pendidikan digital, pengawasan ibu bapa, penguatkuasaan undang-undang serta tanggungjawab platform, risiko terhadap keselamatan kanak-kanak akan terus wujud.

Ya, hukuman terhadap pesalah memberi keadilan kepada mangsa.

Namun, pencegahan melalui dasar yang jelas dan pelaksanaan tegas seperti ONSA serta kawalan umur minimum mungkin menjadi benteng lebih berkesan dalam melindungi generasi muda daripada ancaman yang semakin kompleks.

 

Pautan Video: DUNIA MAYA TANPA KAWALAN, DUNIA NYATA JADI MANGSA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *