PRN JOHOR DAHULU, NEGERI SEMBILAN KEMUDIAN: SPR DIPERSOAL

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan pada tarikh berasingan mencetuskan pelbagai persoalan serta spekulasi politik mengenai rasional sebenar tindakan tersebut.

Walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan dibubarkan dalam tempoh yang hampir sama.

SPR memutuskan proses pilihan raya di kedua-dua negeri itu tidak dijalankan secara serentak. 

Keputusan itu menyebabkan Johor mengundi terlebih dahulu pada 11 Julai, manakala Negeri Sembilan hanya akan melalui proses pengundian pada 1 Ogos.

Perkembangan tersebut mengundang kritikan pelbagai pihak yang mempersoalkan sama ada pemisahan jadual pilihan raya itu sekadar keputusan pentadbiran atau mempunyai implikasi politik yang lebih besar. 

Tumpuan juga terarah kepada kemungkinan keputusan PRN Johor dijadikan petunjuk penting bagi parti-parti tertentu merangka strategi dan kerjasama politik sebelum berdepan PRN Negeri Sembilan.

Pemerhati politik turut membandingkan situasi itu dengan PRN Enam Negeri pada tahun 2023 apabila SPR berjaya menyelaraskan pilihan raya secara serentak meskipun tarikh pembubaran DUN di negeri-negeri terlibat tidak sama. 

Justeru, timbul persoalan mengapa pendekatan sama tidak digunakan bagi Johor dan Negeri Sembilan yang hanya dipisahkan beberapa hari dari segi tarikh pembubaran.

Malah, tindakan menetapkan hari penamaan calon Negeri Sembilan selepas tamat sepenuhnya proses pengundian di Johor menambahkan lagi tanda tanya dalam kalangan pemerhati politik dan rakyat. 

Keadaan itu dilihat memberi ruang kepada parti-parti politik menilai keputusan di Johor sebelum membuat keputusan strategik bagi menghadapi pertarungan di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan sebarang kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) susulan keputusan tersebut. 

Katanya, kejayaan dalam pilihan raya bergantung kepada persediaan dan kekuatan jentera parti.

Dan bukannya sama ada pilihan raya diadakan secara serentak atau berasingan.

Beliau turut berkata, soal penetapan tarikh dan jadual pilihan raya adalah bidang kuasa SPR sepenuhnya dan parti politik tidak mempunyai maklumat awal mengenai keputusan berkenaan. 

Malah menurutnya lagi, ketika DUN Johor dibubarkan, tiada sebarang perbincangan atau jangkaan bahawa pilihan raya negeri itu perlu diselaraskan dengan Negeri Sembilan.

SPR sebelum ini mengumumkan bahawa penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun dengan pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai. 

Bagi Negeri Sembilan pula, penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai, pengundian awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos.

Sehingga kini, SPR belum memberikan penjelasan terperinci mengapa kedua-dua pilihan raya tersebut tidak diselaraskan seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. 

Justeru, perhatian kini tertumpu kepada kemampuan SPR menjawab persepsi yang semakin berkembang bahawa keputusan berkenaan mungkin memberi kesan terhadap percaturan politik menjelang dua PRN yang dianggap penting sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pautan Video: 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *