KOMIK DIGITAL PERKASA PENDIDIKAN INTEGRITI KANAK-KANAK

BANGI – Penggunaan komik dan animasi digital sebagai medium pendidikan integriti dalam kalangan kanak-kanak semakin mendapat perhatian apabila pendekatan berasaskan visual dan penceritaan itu dilihat lebih berkesan dalam membentuk nilai murni sejak usia awal.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, kaedah tersebut selari dengan perkembangan pembelajaran kanak-kanak yang lebih mudah memahami sesuatu konsep melalui gambar, watak dan jalan cerita berbanding penerangan secara lisan semata-mata.

Menurutnya, komik dan animasi bukan sekadar bahan hiburan, sebaliknya mempunyai potensi besar sebagai alat pendidikan yang mampu membantu kanak-kanak memahami nilai integriti seperti kejujuran, amanah, tanggungjawab dan sikap saling membantu dalam kehidupan seharian.

“Kanak-kanak pada usia tiga hingga empat tahun masih sukar memahami konsep abstrak. Apabila nilai integriti dipersembahkan melalui visual dan penceritaan yang menarik, mereka lebih mudah mengaitkan sesuatu perbuatan dengan kesan serta pengajaran yang ingin disampaikan,” katanya.

Beliau berkata, watak-watak yang diwujudkan dalam komik atau animasi juga boleh menjadi contoh teladan kepada kanak-kanak kerana mereka cenderung meniru tingkah laku yang dilihat melalui kandungan yang diminati.

Selain membantu meningkatkan kefahaman, penggunaan elemen warna, emosi dan naratif yang menarik turut meningkatkan fokus serta tumpuan kanak-kanak ketika proses pembelajaran berlangsung. Pendekatan itu sekali gus menjadikan sesi pembelajaran lebih interaktif dan menyeronokkan.

Bagaimanapun, Dr Noor Aishah menegaskan kandungan pendidikan yang dibangunkan perlu mempunyai fokus yang jelas serta tidak memuatkan terlalu banyak mesej dalam satu masa bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, keberkesanan pendidikan integriti melalui komik dan animasi juga bergantung kepada pelaksanaan di dalam kelas serta sokongan ibu bapa dan guru untuk memastikan nilai yang dipelajari dapat diamalkan secara konsisten dalam kehidupan harian.

Justeru, beliau berpandangan kerjasama antara pakar psikologi, pendidik dan pembangun kandungan digital perlu diperkukuhkan bagi menghasilkan bahan pendidikan berkualiti yang mampu memberi impak positif terhadap pembentukan sahsiah dan karakter generasi muda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *