ROHINGYA: KERAJAAN TEGAS IMBANG KESELAMATAN DAN KEMANUSIAAN

Kerajaan menegaskan pengurusan pelarian Rohingya di Malaysia perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira aspek keselamatan negara dan tanggungjawab kemanusiaan, di tengah-tengah peningkatan sentimen awam yang mendesak tindakan lebih tegas terhadap komuniti tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu pelarian tidak boleh ditangani berdasarkan emosi semata-mata kerana ia melibatkan realiti konflik, penindasan dan pelanggaran hak asasi yang memaksa mereka meninggalkan negara asal.

Menurut beliau, Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan.

Namun pada masa sama perlu mempertimbangkan faktor kemanusiaan memandangkan kebanyakan pelarian Rohingya melarikan diri daripada keganasan, diskriminasi dan konflik berpanjangan di Myanmar.

Kenyataan itu hadir ketika kebimbangan rakyat terhadap kehadiran komuniti Rohingya semakin meningkat

Termasuk dakwaan berkaitan tekanan terhadap kemudahan awam, peluang ekonomi, isu sosial serta keselamatan. 

Sebuah petisyen dalam talian yang menuntut penghantaran pulang atau penempatan semula Rohingya ke negara ketiga dilaporkan telah meraih lebih 195,000 tandatangan.

Dalam masa sama, kerajaan mengakui wujud keperluan memperkukuh penguatkuasaan terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial dan terlibat dalam aktiviti perniagaan tanpa kebenaran. 

Susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian dan agensi akan dipertingkat bagi membanteras penyalahgunaan visa, lesen perniagaan tempatan serta operasi perniagaan haram oleh warga asing.

Pemerhati turut melihat isu Rohingya semakin kompleks kerana Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, menyebabkan pelarian berada dalam kedudukan undang-undang yang tidak jelas. 

Keadaan itu menimbulkan cabaran dari segi dokumentasi, akses pekerjaan, pendidikan dan penguatkuasaan.

Sementara itu, Naib Presiden Gerakan, Datuk G. Parameswaran menggesa kerajaan merangka dasar lebih jelas dan tegas bagi menangani keresahan rakyat yang semakin ketara. 

Beliau berkata, walaupun prinsip kemanusiaan perlu dipertahankan.

Kepentingan nasional, keselamatan serta kesejahteraan rakyat tempatan tidak boleh diketepikan.

Penganalisis berpandangan penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama lebih erat antara kerajaan, badan antarabangsa dan negara-negara ketiga bagi mempercepat proses penempatan semula pelarian serta mengekang sindiket pemerdagangan manusia yang terus mengeksploitasi golongan berkenaan.

Ketika perdebatan mengenai isu Rohingya semakin memuncak, kerajaan berdepan cabaran besar untuk memastikan keseimbangan antara tuntutan keselamatan negara, keperluan kemanusiaan dan harapan rakyat dapat dicapai secara adil serta berkesan. 

Kerajaan MADANI terus mengekalkan pendirian berprinsip dalam menangani isu Rohingya dengan mengimbangi aspek kemanusiaan, keselamatan negara dan kepentingan rakyat tempatan. 

Pendekatan yang diambil menunjukkan Malaysia tidak mengabaikan tanggungjawab moral terhadap golongan pelarian yang terpaksa meninggalkan negara asal akibat konflik dan penindasan. 

Pada masa sama, kerajaan memperkukuh penguatkuasaan serta kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan pengurusan pelarian dilaksanakan secara teratur tanpa menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=OsY-mwX2UXY&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *