Kerajaan Madani terus membuktikan komitmen memperkukuh pembangunan Johor apabila pelbagai projek mega dan inisiatif strategik berjaya dipercepatkan demi manfaat rakyat serta pertumbuhan ekonomi negeri itu.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke Siew Fook berkata, kemajuan pesat yang dikecapi Johor ketika ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Menurut beliau, antara pencapaian terbesar kerajaan ialah memastikan projek pengangkutan awam berimpak tinggi seperti Rapid Transit System Link diteruskan selepas berdepan pelbagai isu serta risiko kelewatan sebelum ini.
Memang projek itu dimulakan ketika pentadbiran terdahulu, tetapi selepas kerajaan mengambil alih pada 2022, masih banyak perkara belum selesai dan hampir terbengkalai.
Namun hasil komitmen kerajaan pusat serta menteri-menteri Pakatan Harapan, projek RTS Link kini hampir siap dan bakal memberi manfaat besar kepada rakyat Johor,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga meluluskan projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bagi membantu mengurangkan kesesakan trafik di pusat bandar Johor Bahru dengan peruntukan awal sebanyak RM10 juta.
Anthony turut menjelaskan bahawa projek besar seperti ART memerlukan penelitian rapi kerana melibatkan kos mencecah berbilion ringgit, namun kerajaan tetap komited memastikan pelaksanaannya berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan projek perkhidmatan tren elektrik ETS yang sebelum ini tertangguh hampir sedekad turut berjaya dipercepatkan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Katanya, kejayaan tersebut membuktikan Kerajaan Madani tidak pernah meminggirkan Johor, malah sentiasa memberi perhatian terhadap setiap permohonan pembangunan yang dikemukakan kerajaan negeri.
Tiada projek di Johor yang dianaktirikan. Perdana Menteri sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan negeri ini kerana Johor merupakan antara enjin ekonomi utama negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anthony turut menekankan bahawa kestabilan politik dan kerjasama antara kerajaan negeri serta pusat menjadi faktor utama kejayaan pelbagai projek pembangunan dapat direalisasikan dalam tempoh singkat.
Beliau berkata, rakyat Johor perlu menilai pembangunan yang sedang berlaku secara objektif dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu yang cuba menafikan peranan Kerajaan Madani dalam memacu kemajuan negeri itu.
Menurutnya, pendekatan kerajaan yang menumpukan pembangunan infrastruktur, pengangkutan moden dan pelaburan strategik bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat, malah mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab ekonomi utama di selatan tanah air.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=IPTlBCct0yI&ra=m
