MADANI TERKINI | RAFIZI TINGGAL AMANAH RAKYAT DEMI SURVIVAL POLITIK?

Langkah Datuk Seri Rafizi Ramli meletakkan jawatan sebagai menteri dan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan terus mengundang persoalan besar dalam kalangan rakyat mengenai komitmen sebenar beliau terhadap amanah diberikan pengundi.

Tindakan bekas Timbalan Presiden PKR itu dilihat bukan sahaja menggoncang landskap politik dalaman parti, malah menimbulkan tanda tanya sama ada kepentingan rakyat kini diketepikan demi percaturan politik peribadi.

Lebih menjadi perhatian apabila Rafizi sebelum ini memegang portfolio penting dalam kerajaan serta dikaitkan dengan pelaksanaan pelbagai agenda ekonomi dan projek strategik bernilai besar untuk negara.

Namun di tengah jalan, beliau memilih untuk berundur daripada kerajaan dan parti yang pernah diperjuangkannya sendiri.

Persoalannya, apakah wajar seorang pemimpin meninggalkan tanggungjawab ketika rakyat masih mengharapkan kesinambungan dasar dan kestabilan pentadbiran?

Pengkritik melihat tindakan itu sebagai gambaran politik emosional yang lebih mengutamakan konflik dalaman berbanding amanah kepada rakyat dan pengundi yang memilihnya pada Pilihan Raya Umum lalu.

Lebih ironi, Rafizi sendiri sebelum ini sering membawa imej reformasi, integriti dan politik baharu, namun akhirnya mengambil langkah drastik yang boleh mencetuskan ketidaktentuan politik serta memaksa rakyat berdepan kemungkinan pilihan raya kecil.

Pemerhati politik turut mempersoalkan apakah tindakan meninggalkan kerajaan ketika pelbagai usaha pemulihan ekonomi sedang berjalan mencerminkan sikap bertanggungjawab seorang pemimpin nasional.

Dalam keadaan rakyat berdepan cabaran kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global, keutamaan sepatutnya tertumpu kepada kestabilan serta penyelesaian masalah rakyat, bukannya membuka episod baharu perebutan pengaruh politik.

Apa pun alasan diberikan, rakyat akhirnya akan menilai sendiri sama ada tindakan Rafizi benar-benar berasaskan prinsip atau sekadar strategi politik selepas gagal dalam percaturan dalaman parti.

Yang pasti, persoalan paling besar kini ialah: adakah ini wajah kepimpinan yang benar-benar mengutamakan rakyat, atau politik diri mengatasi amanah negara?

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=WBYkZpe6HTQ&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *