PETALING JAYA – Keadaan jerebu yang kembali reda ketika ini belum menjamin negara bebas daripada ancaman pencemaran udara apabila fenomena itu berisiko berulang pada awal tahun depan susulan cuaca kering akibat fenomena Super El Niño.

Risiko berkenaan dijangka meningkat menjelang penghujung Monsun Timur Laut (MTL), khususnya antara Januari hingga Mac 2027, apabila keadaan cuaca kering berpotensi mencetuskan kebakaran hutan dan tanah gambut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan itu boleh menyebabkan jerebu kembali menyelubungi negara sekiranya langkah pencegahan dan kawalan kebakaran tidak dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut beliau, cuaca kering yang dijangka berlaku pada penghujung MTL berpotensi meningkatkan risiko kebakaran hutan, sekali gus mencetuskan pencemaran udara termasuk jerebu rentas sempadan.

Bagaimanapun, katanya, keadaan jerebu yang melanda negara sebelum ini semakin pulih sejak minggu lalu berikutan perubahan arah pergerakan angin di rantau ini serta keadaan cuaca yang lebih lembap.

“Sejak dua minggu ini cuaca negara berada dalam keadaan lembap susulan fasa peralihan monsun sebelum ini yang menggalakkan pembentukan awan hujan di kebanyakan kawasan di seluruh negara.

“Cuaca lembap ini dijangka berterusan hingga hujung tahun selain ribut petir serta hujan pada waktu petang di negeri-negeri di utara dan barat Semenanjung serta pedalaman Sabah,” katanya.

Beliau berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini juga menunjukkan tiada kawasan di negara ini merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat.

Namun, ancaman jerebu rentas sempadan masih boleh berlaku sekiranya arah angin berubah, terutama jika kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia belum dipadamkan sepenuhnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Chung Jing Xiang berkata, pengurangan ketara titik panas di Sumatera dan Kalimantan menjadi faktor utama keadaan jerebu di Malaysia semakin pulih.

Menurut beliau, cerapan satelit dan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) menunjukkan jumlah titik panas di Indonesia semakin berkurangan sejak 24 Oktober lalu.

Katanya, keadaan itu mengurangkan sumber asap yang sebelum ini dibawa angin merentasi sempadan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti udara khususnya di Lembah Klang.

Beliau menjelaskan, risiko kemasukan jerebu dijangka lebih rendah apabila angin Monsun Timur Laut mula mendominasi rantau ini, selain keadaan cuaca lebih lembap di Kalimantan dan Sumatera yang kurang menggalakkan kejadian kebakaran.

Bagaimanapun, perubahan atmosfera seperti pembentukan sistem tekanan rendah di tengah Laut China Selatan atau laluan ribut tropika berpotensi mengubah corak angin dan mencetuskan keadaan rehat monsun.

Sekiranya keadaan itu berlaku, kemasukan jerebu rentas sempadan masih berkemungkinan berlaku walaupun lazimnya gangguan berkenaan tidak berpanjangan.

Sehubungan itu, pemantauan titik panas, pencegahan pembakaran terbuka dan kerjasama serantau perlu diperkukuh bagi mengelakkan episod jerebu berulang, terutama ketika negara menghampiri tempoh cuaca lebih kering pada awal 2027.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *