PRN MELAKA: PH SASAR KEMENANGAN MENERUSI KEMPEN BERHEMAH

Pakatan Harapan (PH) menyasarkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menerusi kempen berhemah dengan mengetengahkan rekod pentadbiran, dasar kerajaan dan agenda kebajikan rakyat.

Bukannya menggunakan pendekatan maki hamun serta politik kebencian.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jentera parti perlu memainkan peranan menyampaikan maklumat.

Terutamanya mengenai pencapaian Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi meningkatkan keyakinan pengundi terhadap calon yang diketengahkan.

Malah menurutnya, pendekatan politik yang mengutamakan kedamaian, kasih sayang dan perpaduan perlu menjadi asas kempen bagi memastikan persaingan pilihan raya berlangsung secara matang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian bilik gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Krubong, Melaka, baru-baru ini.

Saifuddin Nasution yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, antara perkara yang boleh diketengahkan ialah inisiatif kebajikan kerajaan.

Antaranya termasuk bantuan persekolahan RM200 kepada 5.2 juta pelajar dan murid di seluruh negara bagi membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim menyeru jentera PH, khususnya KEADILAN, supaya bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan calon parti itu di sembilan kerusi yang ditandingi.

Beliau berkata, PKR mahu mencipta rekod baharu dengan memenangi sebanyak mungkin kerusi menerusi pemilihan calon yang mempunyai kemampuan untuk menang dan mencabar penguasaan Barisan Nasional (BN).

Antara calon yang diketengahkan ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin bagi kerusi DUN Paya Rumput.

Di mana menurut Adam Adli, beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, DAP memutuskan untuk tidak bertanding di DUN Bemban bagi memberi tumpuan kepada tujuh kerusi yang dinilai mempunyai peluang lebih baik untuk dimenangi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian strategik terhadap prestasi pilihan raya lalu serta kebolehan parti memenangi kerusi berkenaan.

Bagi pihak pembangkang, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini memaklumkan semua parti dalam gabungan itu bersetuju dengan pengagihan kerusi bersama BN bagi menghadapi PRN Melaka.

Sementara itu, persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan turut dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU.

Ia juga termasuk kemungkinan pembahagian kerusi dan perkembangan kerjasama politik.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober 2026 sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka.

Persaingan kali ini dijangka menyaksikan parti-parti bertanding berusaha meyakinkan pengundi menerusi tawaran dasar, kekuatan jentera dan kemampuan calon menyelesaikan isu setempat. 

Kerajaan Perpaduan juga terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kebajikan rakyat melalui pelaksanaan dasar.

Khususnya yang menyasarkan keperluan golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup.

Sehubungan itu, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan negara disertai usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Antaranya termasuk dalam aspek pendidikan, peluang ekonomi dan perlindungan sosial.

Justeru, rekod pelaksanaan dasar serta keberkesanan inisiatif kerajaan boleh diketengahkan sebagai bahan penerangan kepada pengundi.

Selain memberi ruang kepada rakyat menilai pencapaian dan tawaran setiap parti secara objektif menjelang PRN Melaka.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=nhQ52Epea38&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *