PMX MAHU TUTUP RUANG SALAH GUNA KUASA, CAMPUR TANGAN POLITIK

Kerajaan bercadang memperketat tadbir urus syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan.

Ia terutamanya bagi memastikan dana serta aset rakyat diurus secara telus, berintegriti dan bebas daripada penyalahgunaan kuasa.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, undang-undang berkenaan penting bagi menetapkan garis panduan yang lebih tegas dan memperincikan had kuasa.

Di samping memastikan individu yang diberi amanah mengurus entiti berkenaan bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat.

Menurutnya, pengalaman lalu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Antaranya termasuk kelemahan yang didedahkan menerusi laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) serta Kertas Putih, menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh kerangka tadbir urus.

Beliau turut berkata, tanpa peraturan dan mekanisme pemantauan yang jelas, kelemahan pengurusan serta pelanggaran tatakelola sukar dikenal pasti lebih awal.

Di mana ia sekali gus membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

“Had kuasa perlu diperincikan dan tokoh-tokoh yang diberi amanah memimpin mesti memikul tanggungjawab penuh.

“Bukan menganggap syarikat berkenaan sebagai milik peribadi atau keluarga,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat.

Tambahan lagi, PMX turut menegaskan bahawa keputusan pelaburan GLIC tidak boleh dipengaruhi campur tangan ahli politik.

Sebaliknya perlu ditentukan badan pelaburan yang dianggotai golongan profesional berdasarkan kepakaran dan pertimbangan sewajarnya.

Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan dana pelaburan dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan syarikat tempatan dan menjana nilai ekonomi.

Bukannya digunakan untuk menyelamatkan syarikat tertentu yang berdepan masalah kewangan tanpa pertimbangan pelaburan yang wajar.

Menjawab persoalan mengenai komitmen pelaburan langsung domestik GLIC berjumlah RM120 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Selain itu, beliau juga berkata, pelaksanaannya masih mengikut jadual.

Dengan sebahagian pelaburan dijangka direalisasikan menjelang akhir tahun ini dan tahun hadapan.

Menurutnya lagi, fasa awal pelaksanaan melibatkan proses perancangan, kajian dan penelitian bagi memastikan keputusan pelaburan dibuat dengan mengambil kira pengalaman lalu serta prinsip tadbir urus yang kukuh.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, pembaharuan berkenaan memerlukan tekad politik yang jelas.

Ini kerana usaha memperketat peraturan mungkin berdepan bantahan atau kompromi daripada pihak berkepentingan.

Beliau turut mengingatkan bahawa institusi yang membawa mandat menjaga kepentingan Bumiputera dan umat Islam perlu menunjukkan tahap integriti serta akauntabiliti yang tinggi.

Terutamanya dalam pengurusan dana dan aset yang diamanahkan kepada mereka.

Kerajaan turut berharap RUU berkenaan dapat memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan pemantauan terhadap entiti milik kerajaan.

Ia sekali gus mengurangkan risiko berulangnya kelemahan tadbir urus seperti yang pernah didedahkan sebelum ini.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=CP0ePp-BXxs&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *