KUANTAN – Jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah gambut dikhuatiri menjejaskan pengeluaran durian Malaysia apabila pencemaran udara, kekurangan cahaya matahari dan tekanan kemarau berisiko mengganggu pertumbuhan pokok serta pembentukan buah.

Pensyarah Jabatan Sains Tanaman, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Firdaus Ismail berkata, asap kebakaran mengandungi pelbagai bahan pencemar termasuk zarah halus, jelaga, karbon monoksida, oksida nitrogen, sebatian sulfur dan sebatian organik meruap yang boleh memberi kesan kepada fisiologi pokok.

Menurutnya, jerebu tebal mengurangkan jumlah cahaya matahari yang diterima pokok sekali gus menjejaskan proses fotosintesis, iaitu proses penting untuk menghasilkan tenaga bagi pertumbuhan, pembungaan dan perkembangan buah.

Katanya, mendapan zarah pencemar pada permukaan daun turut berpotensi mengganggu fungsi daun, manakala perubahan kimia atmosfera dan iklim mikro dusun boleh menambahkan tekanan terhadap tanaman.

“Apabila tekanan ini berlaku serentak dengan kemarau ketika pembungaan atau perkembangan awal buah, kesan biologi dan komersial boleh saling menguatkan,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau menjelaskan, keadaan tersebut berpotensi menjejaskan proses pendebungaan, daya hidup bunga serta pembentukan buah, selain meningkatkan risiko keguguran kudup, bunga dan putik durian.

Bunga durian yang berkembang terutamanya pada waktu petang mempunyai tempoh pendebungaan berkesan yang terhad. Oleh itu, tekanan air dan pencemar berpotensi mengurangkan penerimaan stigma, percambahan debunga serta pertumbuhan tiub debunga yang diperlukan untuk persenyawaan.

Mohd Firdaus berkata, jerebu juga boleh mempengaruhi pergerakan pendebunga melalui perubahan jarak penglihatan, penyebaran bau bunga dan ketersediaan sumber makanan alternatif.

Selepas buah terbentuk, pokok memerlukan bekalan karbohidrat, air dan mineral yang mencukupi. Kekurangan cahaya serta tekanan air boleh mendorong pokok menggugurkan sebahagian putik, manakala buah yang kekal berpotensi mengalami perkembangan lebih perlahan atau pemasakan tidak sekata sekiranya bekalan karbon dan pengangkutan air serta nutrien terganggu.

Kebimbangan itu memberi implikasi kepada industri durian negara yang mencatatkan nisbah sara diri sebanyak 103.7 peratus pada 2024, dengan pengeluaran tahunan sebanyak 568,806 tan dari kawasan tanaman seluas 92,116 hektar.

Johor, Pahang dan Kelantan merupakan antara penyumbang utama pengeluaran durian negara, manakala sebanyak 43,461.44 tan durian bernilai RM1.176 bilion dieksport ke China dan Singapura.

Sehubungan itu, pemantauan keadaan pokok, kelembapan tanah, pembungaan dan perkembangan buah penting bagi membantu pekebun mengenal pasti tekanan tanaman lebih awal, khususnya ketika jerebu dan kemarau berlaku serentak.

Bagaimanapun, tahap sebenar kesan jerebu terhadap hasil durian bergantung pada kepekatan dan tempoh pendedahan pencemar, keadaan cuaca serta peringkat pertumbuhan pokok. Penilaian di lapangan diperlukan bagi menentukan sejauh mana fenomena itu mempengaruhi produktiviti dan kualiti buah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *