Pertikaian dalaman Perikatan Nasional (PN) berhubung kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan isu pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terus menjadi perhatian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri mendakwa,kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyalahkan Kerajaan MADANI berhubung isu berkenaan lebih menjurus kepada sentimen politik berbanding punca sebenar pertikaian dalam PN.
Menurutnya, tindakan RoS membatalkan pendaftaran PN berpunca daripada aduan Bersatu berhubungdakwaan pelanggaran Perlembagaan gabungan itu.
Antaranya termasuk isu hak menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
Beliau turut mempersoalkan kegagalan kepemimpinan PN menyelesaikan pertikaian tersebut secara dalaman sehingga perkara itu dibawa kepada RoS.
Pada 20 Oktober lalu, RoS membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan gabungan itugagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Terutamanya mengikut Akta Pertubuhan 1966.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober membenarkan permohonan PN untuk menggantung sementara pelaksanaan keputusan RoS itu sehingga semakan kehakiman diputuskan.
Keputusan berkenaan membolehkan PN meneruskan aktiviti politik buat sementara waktu.
Antaranya termasuk persiapan menghadapi PRN Melaka kelak.
Namun tidak bermakna mahkamah telah memutuskan kesahihan tindakan RoS secara muktamad.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Manmenjelaskan, Bersatu masih merupakan anggota PN dan mempunyai hak untuk dipanggil menghadiri mesyuarat gabungan itu.
Beliau berkata, PAS dan PN sebelum ini berdepan kesukaran memanggil Bersatu ke mesyuarat susulan aduan parti itu kepada RoS mengenai kesahan mesyuarat gabungan berkenaan.
Menurutnya lagi, PN turut meminta penjelasan daripada Bersatu mengenai status keahliannya.
Namun mendakwa surat berkenaan tidak menerima maklum balas.
Tuan Ibrahim juga membangkitkan tindakan Bersatu yang menyatakan hasrat bertanding menggunakan logo sendiri dalam PRN Melaka.
Di samping menjalin kerjasama baharu, yang menurutnya, menimbulkan persoalan mengenai halatuju hubungan parti itu dengan PN.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan PN dan parti-parti komponennya, termasuk PAS serta Bersatu telah mengemukakan lambang masing-masing untuk kegunaan PRN Melaka.
Tambahan lagi, Tuan Ibrahim turut berkata, PAS bersedia menggunakan logo bulan sekiranya timbul halangan terhadap penggunaan logo PN.
Namun, ianya tertakluk kepada ketetapan dan proses undang-undang pilihan raya.
Bagaimanapun, kedudukan PN masih berdepan ketidakpastian apabila RoS memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menangguhkan pelaksanaan tindakan jabatan itu.
Penganalisis politik, Dr Mohamad Tawfik Yaakub berpandangan, keputusan mahkamah berkenaan memberi ruang kepada PN meneruskan persiapan pilihan raya.
Tetapi belum menjamin kedudukan jangka panjang gabungan itu selagi pertikaian undang-undang belum diselesaikan.
Beliau turut berkata, nama dan logo PN penting untuk penyelarasan jentera, pembahagian kerusi serta mengelakkan pertembungan antara parti komponen.
Sehubungan dengan itu, perkembangan itu kini meletakkan PN dalam situasi mencabar untuk menyelaraskan pendirian parti komponennya.
Terutamanya bagi menyelesaikan pertikaian dalaman dan memastikan persiapan PRN Melaka berjalan lancar menjelang hari penamaan calon pada 31 Oktober.
Manakala, hari pengundian pula dijadualkan pada 14 November ini.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=0Kz9E0ZaQaw&ra=m
