PERLUMBAAN SIPUT HIDUPKAN SEMULA FENGLIN

FENGLIN – Sebuah pekan kecil di timur Taiwan kini mencuri perhatian dunia apabila menjadikan perlumbaan siput sebagai simbol gaya hidup perlahan dan usaha memulihkan sektor pelancongan selepas bencana gempa bumi besar yang melanda kawasan itu pada 2024.

Pekan yang mempunyai kira-kira 10,000 penduduk itu memilih pendekatan unik dengan meraikan konsep kehidupan santai, lestari dan berteraskan komuniti menerusi acara perlumbaan siput yang kini memasuki edisi ketiga penganjurannya.

Acara tersebut dianjurkan sempena cuti Hari Pekerja dan berjaya menarik kehadiran penduduk tempatan serta pelancong dari beberapa bandar lain di Taiwan. Perlumbaan itu bukan sahaja menjadi hiburan masyarakat, malah membawa mesej mengenai kepentingan keseimbangan hidup, kesihatan mental dan hubungan sosial dalam komuniti kecil.

Menurut penduduk tempatan, gempa bumi kuat yang melanda kawasan berhampiran Hualien pada April 2024 memberi kesan besar kepada industri pelancongan apabila ramai pengunjung mula mengelakkan kawasan berkenaan kerana bimbang risiko bencana berulang.

Keadaan itu menyebabkan ekonomi tempatan terjejas, terutama sektor perniagaan kecil, penginapan dan aktiviti pelancongan komuniti yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk.

Bagi menghidupkan semula suasana pekan, penduduk Fenglin memilih siput sebagai identiti baharu bandar tersebut kerana haiwan itu melambangkan kehidupan perlahan dan tenang, sejajar dengan status Fenglin sebagai ahli rangkaian antarabangsa Cittaslow sejak 2014.

Gelaran “bandar perlahan” itu juga dilihat sesuai memandangkan lebih 20 peratus penduduk Fenglin kini berusia lebih 65 tahun, selain jumlah penduduk yang semakin berkurangan akibat penghijrahan generasi muda ke bandar besar.

Dalam pertandingan itu, setiap siput diletakkan di tengah meja bulat dan siput pertama yang berjaya tiba di bahagian tepi akan diisytiharkan sebagai pemenang.

Juara keseluruhan tahun ini ialah seekor siput bernama “Brother Snail” milik Tanya Lin dari Hualien yang berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 33 sentimeter dalam masa tiga minit tiga saat.

Kemenangan tersebut membolehkan siput itu membawa pulang hadiah daun keledek organik selain menjadi tumpuan pengunjung yang terhibur dengan keunikan pertandingan berkenaan.

Selain perlumbaan siput, kerajaan tempatan turut memperkenalkan pelbagai aktiviti pelancongan lain termasuk lawatan basikal elektrik ke gudang tembakau lama, bangunan era penjajahan Jepun dan muzium komuniti Hakka bagi menarik lebih ramai pelawat ke kawasan itu.

Penganjuran acara berasaskan komuniti seperti ini dilihat semakin penting dalam membantu bandar kecil membina identiti tersendiri, terutama ketika dunia kini berdepan tekanan kehidupan moden yang pantas dan mencabar.

Bagi ramai pengunjung, Fenglin bukan sekadar lokasi perlumbaan siput, tetapi simbol kepada kehidupan yang lebih damai, perlahan dan dekat dengan masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *