EKONOMI MALAYSIA MEMACU, RAKYAT TERUS NIKMATI HASIL MADANI

Ekonomi Malaysia terus membuktikan daya tahan kukuh apabila mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 5.4 peratus bagi suku pertama tahun 2026.

Sekali gus mengatasi jangkaan pasaran meskipun dunia masih berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi global.

Prestasi itu bukan sahaja mengatasi unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia dan ramalan Bloomberg sebanyak 5.3 peratus.

Malah menjadi suku kedua berturut-turut negara merekodkan pertumbuhan lebih baik daripada jangkaan penganalisis antarabangsa.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan pencapaian itu mencerminkan keberkesanan dasar Ekonomi MADANI yang menekankan pertumbuhan mampan, disiplin fiskal serta pengurusan ekonomi yang lebih tersusun dan bertanggungjawab.

Permintaan domestik kekal menjadi pemacu utama ekonomi negara apabila berkembang sebanyak 5.2 peratus, didorong oleh pasaran buruh yang stabil, peningkatan pendapatan rakyat dan pelbagai bantuan bersasar kerajaan.

Antara faktor utama yang menyokong momentum tersebut termasuk pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam atau SSPA, Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam serta bantuan berterusan melalui program Sumbangan Asas Rahmah atau SARA.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata pendekatan reformasi Ekonomi MADANI berjaya mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kebajikan rakyat walaupun dunia masih berdepan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan perdagangan antarabangsa.

Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi Malaysia kini meningkat daripada 5.2 peratus pada tahun 2024 dan 2025 kepada 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini.

Selain itu, kerajaan juga berjaya mengawal tekanan kos sara hidup menerusi pelaksanaan subsidi bersasar seperti BUDI MADANI RON95 dan penambahbaikan bantuan di bawah BUDI Diesel bagi mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api global terhadap rakyat dan sektor perniagaan.

Dalam masa sama, sektor teknologi negara terus berkembang pesat apabila pelaburan melibatkan kecerdasan buatan atau AI serta pusat data meningkat secara ketara hasil keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan yang konsisten dan mesra pelaburan.

Perkembangan positif itu turut disokong pengukuhan nilai ringgit yang kini muncul antara mata wang terbaik di Asia selain peningkatan aliran masuk pelaburan langsung asing bersih sebanyak RM22.8 bilion pada suku pertama tahun ini.

Pasaran pekerjaan negara juga menunjukkan perkembangan amat memberangsangkan apabila kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus, iaitu paras terendah dalam tempoh sedekad.

Pada masa sama, kadar inflasi kekal terkawal pada 1.6 peratus sekali gus membantu mengekalkan kuasa beli rakyat dan kestabilan harga domestik.

Penganalisis ekonomi berpandangan langkah kerajaan menyediakan sokongan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana atau PMKS turut membantu memperkukuh daya tahan ekonomi domestik ketika dunia masih dibayangi risiko geopolitik.

Kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah menyediakan lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan kepada PMKS termasuk skim pembiayaan mikro bernilai RM5 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 400 ribu usahawan di seluruh negara.

Kemudahan itu disalurkan menerusi pelbagai agensi termasuk TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, Agrobank, MARA, Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat.

Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata pembiayaan mikro menjadi penstabil penting ekonomi negara kerana membantu PKS mengekalkan operasi, aliran tunai dan peluang pekerjaan ketika kos operasi meningkat akibat ketidaktentuan global.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Mohd Afzanizam Abdul Rashidmenyifatkan langkah kerajaan memperluas akses pembiayaan sebagai tindakan tepat bagi membantu perniagaan berdepan cabaran ekonomi semasa selain menggalakkan pendigitalan dan peningkatan kecekapan operasi.

Walaupun kerajaan mengakui konflik berterusan di Asia Barat masih berpotensi memberi tekanan kepada ekonomi global terutama melalui kenaikan kos tenaga dan logistik.

Malaysia dilihat berada pada landasan lebih kukuh berbanding banyak negara lain di rantau ini.

Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, Kerajaan MADANI turut menubuhkan pasukan petugas khas di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi memantau perkembangan semasa dan menyelaras tindakan segera sekiranya berlaku gangguan ekonomi lebih serius.

Keseluruhannya, prestasi ekonomi semasa memperlihatkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju negara semakin meningkat.

Sekali gus membuktikan kestabilan dasar dan pendekatan ekonomi MADANI terus memberi manfaat langsung kepada rakyat serta dunia perniagaan. 

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=i7bPhs0buUg&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *