PERENANG PARA 13 TAHUN PECAH DUA REKOD KEBANGSAAN

BAGAN SERAI – Perenang para, Amirul Akil Mohd I’zzat Emir, 13, mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih tiga pingat emas dan satu perak serta memecahkan dua rekod kebangsaan pada Para Sukma Selangor 2026 bulan lalu.

Remaja kurang upaya penglihatan itu yang mewakili Selangor sejak April lalu, turut mencipta satu rekod kejohanan meskipun masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mudzaffar Shah, Semanggol.

Amirul Akil meraih pingat emas dalam acara 100 meter (m) gaya bebas, 100m kuak lentang dan 100m kuak dada, selain perak bagi acara 50m gaya bebas.

Lebih membanggakan, dia memecahkan rekod kebangsaan acara 100m gaya bebas dengan catatan satu minit 5.97 saat dan 100m kuak lentang dalam masa satu minit 19.84 saat. Dia turut mencipta rekod kejohanan bagi acara 100m kuak dada.

Amirul Akil berkata, meskipun berasa gementar ketika bertanding, perasaan itu tidak menghalangnya daripada memberikan persembahan terbaik.

“Saya mahu melakukan lebih baik daripada pencapaian sekarang. Saya mahu mencapai sesuatu yang sebelum ini tidak pernah saya bayangkan mampu dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Merah di sini hari ini.

Sementara itu, jurulatihnya, Aznil Suhaili Jamaludin, 40, berkata, beliau masih mengingati detik ibu Amirul Akil datang menemuinya pada suatu petang dan memaklumkan anaknya didakwa dipukul seorang guru.

Menurutnya, pemeriksaan ketika itu mendapati terdapat kesan bengkak di bahagian belakang kepala remaja berkenaan, berhampiran telinga.

“Sebagai jurulatih, saya perlu memeriksa keadaannya terlebih dahulu. Apabila melihat bengkak di kawasan kepala berhampiran telinga, saya menyedari bahawa keadaan itu berbahaya sekiranya dia terus berenang,” katanya.

Ibu Amirul Akil, Syahmina Mohd Azim, 41, berharap pencapaian anaknya mendapat perhatian pihak berkaitan di Perak bagi membolehkan bakat remaja itu terus dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, keluarga masih belum mengetahui bentuk tawaran atau sokongan yang boleh diberikan kepada atlet orang kurang upaya (OKU) di negeri itu.

“Sekiranya Akil mahu mewakili Perak, kami berharap pihak negeri dapat mempertimbangkan sokongan terbaik untuknya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *