KUALA LUMPUR – Kanser payudara masih berisiko berulang walaupun pesakit telah selesai menjalani rawatan awal, sekali gus menuntut pemantauan jangka panjang dan penjagaan susulan yang berterusan.
Risiko kanser berulang berbeza mengikut individu, bergantung kepada faktor klinikal, genetik, biologi tumor dan penanda biologi (biomarker) yang boleh membantu menentukan pendekatan rawatan bersesuaian.
Sehubungan itu, pemahaman mengenai faktor yang mempengaruhi risiko kanser berulang penting bagi memastikan pesakit menerima rawatan susulan, pemantauan dan sokongan berdasarkan keperluan masing-masing.
Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Prof. Dr. Murallitharan Munisamy berkata, kekurangan data mengenai pesakit kanser payudara berulang menyukarkan perancangan keperluan penjagaan kesihatan serta penyediaan pembiayaan yang bersesuaian.
Katanya, meskipun kerangka kebangsaan seperti Pelan Strategik Kebangsaan bagi Program Kawalan Kanser dan Indeks Kualiti Penjagaan Kanser Payudara (BCCQI) diwujudkan bagi menyeragamkan terapi serta meningkatkan mutu penjagaan, aspek kanser berulang masih belum diberi perhatian secukupnya.
“Kita masih tidak mengetahui jumlah wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara peringkat awal tetapi mengalami kanser berulang.
“Isu ini jarang dibincangkan dan sekali gus menunjukkan wujud jurang dalam kelangsungan hidup serta kesinambungan penjagaan, khususnya dari segi sokongan kepada pesakit selepas tamat rawatan awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pleno sempena Persidangan Sokongan Kanser Payudara Antarabangsa Reach to Recovery ke-20, baru-baru ini.
Menurutnya, perubahan bermakna memerlukan akses yang saksama kepada penjagaan jangka panjang serta tindakan awal bagi menangani risiko kanser berulang.
Sementara itu, Presiden Serantau Novartis Malaysia, Brunei dan Pasaran Membangun Asia, Sanjeev Balachandran berkata, pengurusan kanser payudara peringkat awal tidak seharusnya tertumpu kepada kelangsungan hidup semata-mata.
Sebaliknya, perhatian turut perlu diberikan kepada kehidupan pesakit selepas rawatan, termasuk pemantauan kesihatan, kesinambungan penjagaan dan persediaan menghadapi masa hadapan.
Pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan pesakit bukan sahaja mendapat rawatan sewajarnya, malah terus menerima sokongan dalam menjalani kehidupan selepas rawatan awal.
