PARIS – Perancis dilanda gelombang rusuhan ganas yang mencetuskan kemusnahan besar di beberapa bandar utama, dengan kira-kira 2,400 individu ditahan susulan demonstrasi yang bertukar menjadi keganasan dan rompakan berleluasa.
Insiden itu meningkatkan tekanan terhadap Presiden Emmanuel Macron, ketika kerajaan berdepan kritikan berhubung kegagalan mengawal keadaan serta menangani kemarahan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup.
Seorang penduduk berusia 78 tahun, Mehmet Ozeden, menyifatkan keadaan yang berlaku seolah-olah negara itu baru sahaja melalui peperangan, menggambarkan tahap kemusnahan yang berlaku akibat rusuhan berkenaan.
Dalam ucapan dari Istana Élysée, Macron menggesa rakyat supaya bertenang dan menjaga ketenteraman awam, selain memberi amaran agar tindakan segelintir pihak tidak memburukkan lagi keadaan.
Beliau turut meluahkan rasa marah dan malu terhadap kemusnahan yang berlaku, sambil mempersoalkan tindakan individu yang sanggup merosakkan negara sendiri.
Kerajaan Perancis menyalahkan kumpulan berhaluan kiri ekstrem serta penjenayah yang didakwa mengambil kesempatan daripada demonstrasi untuk melakukan keganasan dan penjarahan.
Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, mengakui pihak polis kehilangan kawalan di beberapa bandar ketika rusuhan memuncak. Beliau turut mengakui persiapan menghadapi demonstrasi tidak mencukupi dan pihak berkuasa gagal menjangkakan skala keganasan yang berlaku.
Nunez dilaporkan mengemukakan peletakan jawatan kepada Macron kerana berasa bertanggungjawab terhadap insiden itu, namun Presiden Perancis berkenaan menolaknya.
Kira-kira 550,000 orang menyertai demonstrasi di seluruh negara bagi membantah kenaikan harga bahan api, peningkatan kos sara hidup dan kemerosotan perkhidmatan awam, termasuk sektor pendidikan.
Bagaimanapun, demonstrasi yang sebahagian besarnya berlangsung secara aman pada peringkat awal bertukar ganas pada Sabtu lalu apabila beberapa kenderaan dibakar, premis perniagaan dirosakkan dan kemudahan awam menjadi sasaran.
Timbalan Datuk Bandar Paris, Lamia El Aaraje, menyifatkan tahap keganasan di ibu negara itu sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Ratusan kedai di Paris serta bandar lain termasuk Marseille, Bordeaux, Nice dan Strasbourg dilaporkan menjadi sasaran rompakan. Hampir 1,000 anggota polis dan pasukan keselamatan turut cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan.
Menurut Persekutuan Peruncitan dan Perdagangan, kira-kira 1,500 premis perniagaan mengalami kerosakan, dengan kerugian dianggarkan mencecah ratusan juta euro.
Antara kemusnahan besar yang dilaporkan termasuk bangunan dewan bandar raya Limoges yang dibina pada abad ke-19, manakala sebuah pejabat pelancongan di pusat bandar Lyon turut dibakar.
Krisis itu bukan sahaja menjejaskan keselamatan awam dan kegiatan ekonomi, malah meningkatkan cabaran politik terhadap pentadbiran Macron ketika kerajaan berusaha memulihkan ketenteraman serta menangani tuntutan rakyat berhubung kos kehidupan dan mutu perkhidmatan awam.
