KUALA LUMPUR – Pengumuman Belanjawan 2027 disifatkan sebagai perkembangan positif dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara, namun keberkesanan pelaksanaannya perlu dinilai berdasarkan manfaat jangka panjang kepada mahasiswa dan graduan.
Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK) berkata, kejayaan sesuatu inisiatif bukan hanya bergantung kepada jumlah peruntukan diumumkan, sebaliknya turut ditentukan oleh ketelusan pelaksanaan, keberkesanan agihan dan impaknya terhadap kumpulan sasaran.
Menurut persatuan itu, penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan serta bayaran minimum RM50 bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 perlu disokong mekanisme pengesahan pendapatan dan pemantauan berkala yang telus.
Katanya, pendekatan pembayaran balik berdasarkan kemampuan perlu diperkukuh tanpa mengabaikan tanggungjawab peminjam dan kelestarian dana PTPTN bagi memastikan peluang pembiayaan pendidikan tinggi terus tersedia untuk generasi akan datang.
Dalam pada itu, kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 serta pengenalan kerangka gaji minimum RM2,500 bagi pekerja separa mahir dan graduan perlu disusuli peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan kemahiran dan laluan perkembangan kerjaya yang jelas.
Alumni MPPK berpandangan, cabaran sebenar bukan sekadar meningkatkan gaji permulaan, tetapi memastikan pendapatan graduan berkembang secara mampan dan setimpal dengan kelayakan, kemahiran serta sumbangan mereka kepada ekonomi negara.
Persatuan itu turut menekankan kepentingan menilai keberkesanan peningkatan bantuan FLYsiswa daripada RM400 kepada RM500, peruntukan RM20 juta bagi inisiatif Dapur Siswa MADANI serta elaun sara hidup RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam berdasarkan keperluan sebenar penerima dan ketelusan pengagihan.
Menurutnya, akses kepada pendidikan berkualiti perlu terus diperkukuh supaya mahasiswa daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi mendapat peluang yang adil untuk mengembangkan potensi masing-masing.
Sehubungan itu, setiap inisiatif Belanjawan 2027 perlu disusuli garis panduan pelaksanaan yang jelas, penyelarasan antara agensi serta penilaian berkala bagi memastikan peruntukan awam dimanfaatkan secara optimum dan risiko ketirisan dapat dikurangkan.
Alumni MPPK menegaskan bahawa kejayaan sebenar Belanjawan 2027 bukan sekadar diukur melalui jumlah peruntukan atau bilangan inisiatif yang diumumkan, tetapi berdasarkan keupayaannya meningkatkan kebajikan mahasiswa, memperkukuh kedudukan ekonomi graduan dan membina sistem pendidikan tinggi yang lebih adil, inklusif serta mampan.
