PETALING JAYA – Industri umrah Malaysia dijangka berdepan pembatalan sehingga 40 peratus pakej perjalanan bagi tempoh November hingga Januari depan susulan konflik berterusan di Asia Barat yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan jemaah.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, kebimbangan orang ramai semakin meningkat susulan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh yang dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan lebih 300 individu.
Menurutnya, setakat ini belum berlaku pembatalan pakej secara ketara kerana konflik berkenaan masih baharu, manakala kebanyakan jemaah bagi perjalanan Oktober telah membuat pembayaran.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan pembatalan mula meningkat bulan depan, khususnya bagi jemaah yang merancang perjalanan pada November, Disember dan Januari berikutan kebimbangan terhadap perkembangan keselamatan di rantau berkenaan.
“Situasi di Riyadh itu mempengaruhi keputusan bakal jemaah untuk meneruskan perjalanan. Pembatalan dijangka bermula bulan depan dan mungkin mencecah 40 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar memaklumkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban atau cedera susulan serangan terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh serta insiden projektil jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam.
Insiden keselamatan itu turut mencetuskan gangguan terhadap operasi penerbangan antarabangsa apabila beberapa syarikat penerbangan membatalkan atau mengubah laluan penerbangan susulan risiko keselamatan ruang udara.
Sementara itu, Razali menasihatkan bakal jemaah supaya menangguhkan sementara perjalanan umrah sehingga keadaan kembali reda bagi mengutamakan keselamatan diri dan mengelakkan risiko yang tidak diingini.
Beliau berkata, keputusan menangguhkan perjalanan atas faktor keselamatan tidak seharusnya dianggap sebagai penghalang untuk menunaikan ibadah, sebaliknya merupakan langkah berhemah ketika keadaan masih tidak menentu.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Arab Saudi bagi menunaikan umrah buat sementara waktu susulan perkembangan keselamatan berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun tiada insiden dilaporkan di Mekah ketika kenyataan itu dibuat, risiko keselamatan susulan serangan di Riyadh perlu diberikan perhatian serius oleh bakal jemaah.
Nasihat itu bertujuan memastikan rakyat Malaysia membuat keputusan perjalanan berdasarkan perkembangan semasa dan mengutamakan keselamatan sementara pihak berkuasa terus memantau keadaan di Asia Barat.
