POPULASI KURA-KURA GERGASI ALDABRA CECAH 180,000 EKOR

SEYCHELLES – Populasi kura-kura gergasi Aldabra yang pernah diancam kepupusan kini dianggarkan mencecah 180,000 ekor, sekali gus mengatasi jumlah penduduk Seychelles yang dianggarkan sekitar 122,000 orang.

Tinjauan Yayasan Kepulauan Seychelles (SIF) bersama Universiti Exeter di United Kingdom (UK) menganggarkan kira-kira 180,000 ekor spesies itu hidup di Atol Aldabra, menjadikannya antara populasi kura-kura gergasi terbesar di dunia.

Peningkatan itu mencerminkan kejayaan usaha pemuliharaan dalam melindungi spesies berkenaan daripada ancaman kepupusan, selepas populasinya merosot teruk akibat pemburuan dan eksploitasi secara besar-besaran pada abad ke-19.

Ketika itu, jumlah kura-kura gergasi di Aldabra dianggarkan susut kepada hanya 1,000 ekor, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kelangsungan spesies berkenaan.

Usaha perlindungan kemudian diperkukuh apabila Atol Aldabra dijadikan kawasan perlindungan alam semula jadi pada 1981, sebelum diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1982.

Atol yang terletak di barat daya Seychelles itu merupakan ekosistem pulau terpencil yang menempatkan pelbagai spesies unik dan memainkan peranan penting dalam pemuliharaan biodiversiti.

Selain Aldabra, Kepulauan Galapagos di Ecuador turut menjadi habitat semula jadi kura-kura gergasi, namun populasinya jauh lebih kecil berbanding spesies di Seychelles.

Kejayaan pemulihan populasi kura-kura gergasi Aldabra membuktikan bahawa perlindungan habitat dan usaha pemuliharaan berterusan mampu membantu spesies yang terancam kembali berkembang, sekali gus mengekalkan keseimbangan ekosistem semula jadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *