MADANI TERKINI | KERAJAAN PASTIKAN SETIAP DASAR, BANTUAN DIRASAI RAKYAT SABAH

Kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap keperluan rakyat Sabah dengan memastikan setiap dasar dan bantuan dapat dilaksanakan secara berkesan serta dinikmati rakyat di lapangan, kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau meneliti beberapa perkara terkait pembangunan dan kebajikan rakyat negeri Sabah.

PMX berkata perkara itu dibincang ketika beliau menerima kunjungan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi, serta Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar pada Rabu.

“Perbincangan turut menyentuh ikhtiar meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar, termasuk usaha memperkukuh peluang ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap keperluan Sabah agar setiap dasar dan bantuan bukan sekadar diumumkan.

“Tetapi benar-benar sampai dan dirasai rakyat di lapangan, insya-Allah,” katanya dipetik Media Perpaduan.

Dalam perkembangan yang lain, Perdana Menteri turut berharap, usaha diplomasi masyarakat antarabangsa dapat meredakan ketegangan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran bagi menjamin keamanan, kestabilan dan kesejahteraan sejagat.

Ketika menerima kunjungan hormat sarjana, penulis dan pakar hubungan antarabangsa terkenal dalam bidang politik Asia Barat serta pengajian Islam, Seyyed Vali Reza Nasr, PMX menegaskan, pertemuan itu dimanfaatkan bagi bertukar pandangan tentang ketidak tentuan konflik global yang berlaku kini.

“Kami memanfaatkan ruang pertemuan ini untuk bertukar pandangan berhubung perkembangan konflik AS-Iran.

“Termasuk implikasinya terhadap kestabilan geopolitik dunia, keselamatan serantau serta krisis bekalan tenaga global yang sedang dihadapi ketika ini.

“Moga segala ikhtiar dan usaha diplomasi yang digerakkan masyarakat antarabangsa dapat membantu meredakan ketegangan, seterusnya menjamin keamanan, kestabilan dan kesejahteraan sejagat,” katanyadipetik Harapan Madani.

Menerusi perkongsian di media sosial itu juga, Ahli Parlimen Tambun itu turut disertai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emiritus Datuk Dr Osman Bakar.

Walaupun terkesan dengan krisis di Asia Barat, Malaysia antara negara yang paling berjaya mengatasi krisis tenaga global selain China menurut laporan JP Morgan akhir bulan lalu.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=tYALY0VFnwk&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *