Amaran tegas yang dikeluarkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai implikasi runcing krisis institusi takhta seperti yang berlaku di Negeri Sembilan usah diambil enteng malah wajar dijadikan iktibar mendalam oleh semua pihak.
Kemelut yang menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bukan sahaja mengujikestabilan politik negeri adat perpatih itu, malah membawa ancaman sistemik yang mampu menggugat kerangka asas Perlembagaan Persekutuan serta sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi tiang seri keamanan negara.
Sistem Raja Berpersekutuan di Malaysia bertapak atas asas muafakat, keluhuran undang-undang, serta penghormatan mutlak terhadap sempadan kuasa yang telah ditetapkan.
Apabila konflik institusi kepimpinan tertinggi negeri berlarutan, terutamanya yang melibatkan pertikaian antara prerogatif diraja, bidang kuasa adat, dan pentadbiran eksekutif, ia membuka ruangkepada ketidaktentuan pentadbiran yang boleh melumpuhkan fungsi kerajaan negeri.
Keadaan ini secara langsung mencetuskan krisis keyakinan awam dan dikhuatiri meretakkan perpaduan sosial.
Ketegasan Perdana Menteri mengingatkan kita bahawa institusi beraja tidak seharusnya diheret kedalam kancah polemik politik kepartian atau kepentingan jangka pendek yang menggugat integriti sistem beraja itu dalam jangka masa panjang.
Sehubungan dengan itu, persoalan mengenai kesahihan Undang yang terlibat perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diputuskan.
PMX juga menegaskan beliau tidak mencampuri urusan berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkenaan untuk diselesaikan berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang.
“Saya kata saya tak campur. Apa yang saya campur? Undang ambil keputusan. Ada pihak yang menyokong mereka, bagi pandangan, tak ada masalah. Saya tak mahu campur.
“Tapi Undang itu pun, yang mana sah, yang mana tak sah? Pilih, selesaikan yang itu,” katanya dipetik Harapan Daily.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat Bersama Anwar Ibrahim di Pendang, Kedah pada Sabtu.
Kenyataan itu dibuat ketika kemelut berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan kembali menjadi perhatian, termasuk pertikaian mengenai proklamasi bertarikh 19 April 2026.
Tambahnya lagi, kedudukan Raja dalam sistem Raja Berperlembagaan tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya kerana setiap tindakan perlu mempunyai asas dalam Perlembagaan serta undang-undang yang berkaitan.
Malah menurutnya, tindakan untuk menurunkan atau menggulingkan seseorang Raja bukan sesuatu yang boleh dilakukan dengan mudah tanpa melalui proses yang ditetapkan.
“Bincanglah cara elok. Saya tak setuju semudah-mudah nak guling Raja. Tak boleh sistem kita begitu sebab itu Perlembagaan sangat jelas,” tegasnya lagi.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menjelaskan bahawa kuasa Perdana Menteri dan Jemaah Menteri juga mempunyai batas tertentu seperti yang ditetapkan Perlembagaan.
“Perdana Menteri itu ketua eksekutif mentadbir negara. Had dia apa? Dia tidak boleh pinda Perlembagaan soal Islam, soal bahasa Melayu, soal hak semua orang Melayu, soal Raja-Raja,” ujarnya.
Katanya, pendirian itu penting kerana sistem Raja Berperlembagaan perlu berfungsi dalam kerangka undang-undang dan bukannya bergantung kepada keputusan atau tindakan mana-mana pihak secara sepihak.
Beliau turut berkata, jika kedudukan Raja boleh diubah dengan mudah, perkara itu boleh menjejaskan asas sistem beraja yang diamalkan negara.
Pada masa sama, Presiden Keadilan itu menegaskan bahawa pendiriannya itu bukan bertujuan mencampuri urusan adat dan pemerintahan Negeri Sembilan.
Sebaliknya, beliau berkata prinsip Perlembagaan perlu dihormati apabila timbul pertikaian mengenai institusi diraja, termasuk dalam menentukan pihak yang mempunyai kedudukan atau kuasa yang sah.
Kemelut berkenaan tercetus susulan isu proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di mana Jabatan Peguam Negara sebelum ini menyatakan proklamasi tersebut tidak sah.
Dalam perkembangan berasingan pada 16 September lalu, barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan menyatakan proklamasi penurunan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar adalah sah dan menggesa supaya Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar diiktiraf sebagai Yang Dipertuan Besar yang baharu.
Namun, kenyataan itu dipertikaikan dari sudut kuasa Exco dan proses yang ditetapkan undang-undang negeri.
Pertikaian itu turut menyentuh tafsiran terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, khususnya berkaitan peranan Undang Yang Empat dalam proses melibatkan kedudukan Yang Dipertuan Besar.
Dalam keadaan itu, kenyataan terbaharu PMX lebih menumpukan kepada keperluan menentukan siapa yang sah dan apakah proses yang sah sebelum sebarang keputusan berkaitan institusi diraja dibuat.
Perdana Menteri turut menyeru supaya perbezaan pandangan berhubung perkara itu dibincangkan secara baik dan tidak didorong oleh sentimen permusuhan atau kemarahan.
“Kalau kita orang Melayu, dalam soal Raja Melayu jadi tonggak ini pun kita berbalah, nak suruh orang hormat kita macam mana?
“Ini masalah kita kerana faktor kebencian, geram… soal perbezaan ini yang menyebabkan kita hilang pertimbangan dan hilang siuman,” katanya lagi.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, isu institusi diraja tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pertikaian politik kerana ia turut menyentuh sistem kenegaraan dan aturan Perlembagaan.
Dengan pendirian itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak mahu mencampuri keputusan yang menjadi bidang kuasa pihak berkenaan di Negeri Sembilan.
Namun, pada masa sama menekankan bahawa sebarang tindakan terhadap kedudukan Raja mesti mempunyai asas perundangan yang jelas.
Persoalan utama yang ditekankan Perdana Menteri kini bukan siapa yang perlu menyebelahi mana-mana pihak, tetapi kesahihan Undang, kuasa yang diberikan oleh undang-undang serta proses yang perlu dipatuhi sebelum sebarang keputusan mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dibuat.
Walau apapun, sebarang usaha merintis jalan penyelesaian mesti berpaksi kepada saluran undang-undang yang sah, kebijaksanaan rundingan, serta pematuhan penuh terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Mengambil iktibar daripada amaran ini bermaksud seluruh rakyat dan pemimpin wajib menolak sebarang tindakan radikal yang boleh mencabar keutuhan institusi diraja.
Kelangsungan negara berdaulat amat bergantung pada sejauh mana kita mempertahankan kewibawaan institusi beraja sebagai Payung Negara yang bebas daripada sebarang unsur perpecahan demi menjamin kestabilan masa depan Malaysia.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=8WVKRKRvbpU&ra=m
