HARGA PETROL DAN DIESEL TERUS NAIK


KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat 20 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi naik 15 sen seliter bagi tempoh 24 hingga 30 September ini.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga baharu RON97 ditetapkan pada RM5.05 seliter, RON95 tanpa subsidi RM4.57 dan diesel tanpa subsidi RM5.42 seliter.

Menurut kementerian itu, kenaikan berkenaan dipengaruhi kekangan bekalan petroleum bertapis yang terus mengekalkan harga pasaran pada paras tinggi.

“Gangguan terhadap pengeluaran produk petroleum bertapis di Rusia, antara pengeksport diesel terbesar dunia, terus mengeruhkan keadaan.

“Eksport diesel dari Asia Barat pula merosot lebih 50 peratus dari Mac hingga Ogos 2026,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

MOF berkata, pemulihan kapasiti penapisan global penting bagi membantu meredakan harga produk petroleum, manakala pemulihan aliran petroleum melalui Selat Hormuz berpotensi mengurangkan tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk bertapis.

Bagaimanapun, ketidaktentuan geopolitik global dijangka terus mempengaruhi turun naik harga petroleum dalam jangka sederhana, termasuk peningkatan kos penghantaran susulan risiko konflik.

Menurut MOF, kadar sewaan kapal tangki super bagi beberapa laluan dari Asia Barat mencecah paras rekod kira-kira AS$1 juta sehari berikutan gangguan perkapalan.

Kementerian itu turut memaklumkan bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, namun rakyat disaran mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat, merancang perjalanan dengan lebih cekap dan mengurangkan perjalanan tidak perlu.

Langkah itu penting bagi membantu mengoptimumkan penggunaan bekalan bahan api serta mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *