PETALING JAYA – Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini membuka ruang baharu kepada sindiket penipuan cinta atau love scam apabila imej dan identiti palsu boleh direka sehingga kelihatan seperti individu sebenar.

Perkara itu terbukti selepas seorang wanita berusia 66 tahun dari Lampang, Thailand, sanggup menaiki bas lebih 100 kilometer seorang diri ke Lapangan Terbang Chiang Mai pada 16 September lalu untuk bertemu lelaki bernama ‘Chai’ yang dipercayainya seorang juruterbang.

Wanita itu yang tiba sekitar pukul 8 malam dilihat menunggu seorang diri di terminal sebelum dihampiri Polis Pelancongan Chiang Mai dan petugas keselamatan lapangan terbang. Hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang dinantikan itu sebenarnya watak dijana AI yang dikenalinya menerusi Facebook.

Lebih mengejutkan, wanita berkenaan dipercayai masih mempunyai suami, manakala perjalanan ke Chiang Mai dilakukan tanpa pengetahuan ahli keluarganya. Bagaimanapun, tempoh sebenar perkenalan dengan ‘Chai’ tidak dapat dipastikan berikutan kekangan bahasa.

Kisah itu wajar dijadikan peringatan kepada masyarakat di Malaysia kerana golongan warga emas turut menjadi sasaran penjenayah siber yang menggunakan pendekatan emosi bagi mendapatkan kepercayaan mangsa.

Baru-baru ini, seorang wanita berusia 71 tahun di Rembau, Negeri Sembilan, nyaris kehilangan RM10,000 selepas dipercayai terpedaya dengan love scam. Pemandu e-hailing yang menghantarnya ke sebuah bank berasa curiga sebelum menghubungi polis.

Polis kemudian tiba ketika mangsa sedang cuba memasukkan RM10,000 ke dalam akaun dipercayai milik sindiket dan transaksi itu berjaya dihentikan. Semakan awal turut mendapati mangsa sebelum itu sudah membuat dua transaksi masing-masing RM4,950 dan RM4,900.

Situasi itu menunjukkan penipuan cinta bukan lagi sekadar menggunakan profil lelaki atau wanita yang kelihatan menarik, sebaliknya teknologi AI berpotensi digunakan untuk mencipta identiti, gambar dan watak palsu bagi meyakinkan mangsa.

Golongan warga emas perlu diberi pendedahan bahawa gambar profil, pekerjaan, pangkat atau cerita kehidupan yang dikongsikan seseorang di media sosial tidak semestinya menggambarkan identiti sebenar individu terbabit.

Anak-anak dan ahli keluarga juga perlu memainkan peranan dengan memantau perubahan tingkah laku warga emas, terutama jika mereka mula merahsiakan hubungan dalam talian, kerap berhubung dengan individu tidak dikenali atau mula membuat transaksi wang atas alasan cinta, bantuan kecemasan atau urusan peribadi.

Dalam masa sama, warga emas perlu mengelakkan daripada menghantar wang, maklumat perbankan, nombor pengenalan atau gambar peribadi kepada kenalan yang hanya dikenali menerusi media sosial.

Perasaan sunyi dan keinginan untuk mempunyai teman tidak seharusnya dimanipulasi oleh penjenayah. Sebarang hubungan dalam talian yang melibatkan permintaan wang perlu dianggap sebagai tanda amaran sehingga identiti individu terbabit benar-benar dapat disahkan.

Jangan tunggu sehingga simpanan bertahun-tahun lesap atau terpaksa berdepan rasa malu dan kecewa. Dalam dunia digital yang semakin canggih, bukan sahaja wajah boleh dipalsukan, malah ‘kekasih’ yang dipercayai wujud juga mungkin sebenarnya tidak pernah wujud.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *