MADANI TERKINI | MALAYSIA, CHINA METERAI MOU KERJASAMA PENGANGKUTAN, PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK

Malaysia dan China memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pengangkutan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pengangkutan, susulan mesyuarat dua hala antara Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pengangkutan China, Liu Wei dalam rangkalawatan rasmi Loke ke Beijing.

Dalam kenyataan pada Rabu, Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan dalam mesyuarat itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai usaha memperluas kerjasama strategik dalam sektor pengangkutan serta meningkatkan kesalinghubungan, kecekapan dan kemampanan sistem pengangkutan kedua-dua negara.

“MoU itu mewujudkan kerangka rasmi bagi kerjasama strategik dua hala merangkumi pengangkutan darat, rel, maritim dan udara serta sektor logistik. 

“Antara bidding tumpuan ialah pertukaran kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengangkutan hijau dan pembangunan infrastruktur rendah karbon,” katanya dipetik Media Perpaduan.

Kenyataan itu memberitahu kerjasama berkenaan dijangka meningkatkan keupayaan Malaysia dalam penggubalan dasar, memperkukuh kecekapan rantaian bekalan, menarik pelaburan teknologi China, sekaligus memantapkan peranan Malaysia sebagai hab pengangkutan serantau ASEAN.

Anthony turut menyaksikan pemeteraian MoU Kerjasama Keselamatan Penerbangan Awam antaraPihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud dan Timbalan Pentadbir CAAC, Hu Zhenjiang.

“Kerjasama CAAM–CAAC meliputi kelulusan kelayakan, pensijilan dan pemantauan organisasi penerbangan, pelesenan serta pengawasan operasi penerbangan.

“MoU ini akan membantu memperkukuh standard keselamatan penerbangan awam Malaysia, mengurangkan pertindihan proses teknikal serta memudahkan pergerakan produk dan perkhidmatan aeronautik antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOT lagi, Anthony turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Pentadbir National Railway Administration of China Song Xiude.

Di mana ia memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pembangunan dan pengawalseliaan sektor rel, keselamatan operasi, pembangunan kapasiti serta penggunaan teknologi dalam sistem rel.

“Lawatan ini mencerminkan hubungan erat dan matang antara Malaysia dan China serta komitmen kedua-dua negara untuk menterjemahkan hubungan tersebut kepada kerjasama pengangkutan yang praktikal, berimpak tinggi dan saling menguntungkan,” ujar MOT lagi.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=JB-X-6g44XM&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *