Projek Wi-Fi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di 539 tempat seluruh negara dijangka dapatdisiapkan sepenuhnya menjelang September ini, dengan 294 lokasi atau 55 peratus siap setakat ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, projek bernilai RM664 juta yang ditanggungsepenuhnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) itu bakal meningkatkan infrastruktur dan menambah baik liputan Internet di kampus.
“Kita sudah memulakan satu projek untuk memasang puluhan ribu titik akses atau ‘access point’ Wi-Fi berteknologi tinggi iaitu Wi-Fi 6 atau Wi-Fi 7.
“Projek ini memberi tumpuan kepada lokasi strategik di kampus termasuk dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pelajar serta kolej kediaman dan asrama,” katanya dipetik Media Perpaduan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pelaksanaan Projek WIFI IPTA Fasa 3 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada Sabtu.
Tambahnya lagi, keseluruhan projek merangkumi 539 lokasi membabitkan pelbagai IPTA serta institusi latihan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Nie Ching berkata, Fasa 1 dan Fasa 2 projek itu selesai yang membabitkan 191 lokasi, manakala pelaksanaan kini memasuki Fasa 3 termasuk lokasi di bawah MARA dan KESUMA.
“Untuk IPTA Fasa 3, 42 daripada 204 lokasi iaitu 21 peratus sudah siap dan baki lokasi masih dalam peringkat kerja penyaluran rangkaian serta pemasangan.
“Bagi MARA, kami sudah mengenal pasti 110 lokasi dengan 60 lokasi siap, iaitu 55 peratus, sementarainstitusi di bawah KESUMA sebanyak 34 lokasi dan satu sudah siap,” ujarnya lagi.
Mengulas perkembangan pelaksanaan di Melaka, beliau berkata, projek Wi-Fi IPTA di negeri itusudah mencapai tahap penyiapan 44 peratus, dengan 1,399 titik capaian baharu diaktifkan untuk manfaat 10 IPTA hingga Ogos lalu.
Nie Ching turut berkata, UTeM merekodkan perkembangan positif apabila 302 titik capaian tambahanmenerusi Fasa 3 siap dipasang pada 27 Ogos lalu, lebih awal daripada sasaran asal MCMC iaitu pada 23 September.
“Secara keseluruhan, UTeM kini mempunyai 410 ‘access point’ yang beroperasi, termasuk 108 ‘access point’ Fasa 2 yang siap dipasang pada Jun 2025,” jelasnya.
Sementara itu, wakil pelajar, Muhammad Quwayyis Khairuddin, 21, berkata, penambahan AP Wi-Fi berkelajuan tinggi amat penting, khususnya bagi pelajar yang tinggal di kolej kediaman serta lokasi strategik yang lain di dalam kampus UTeM.
“Kami anggap ini satu hadiah paling bermakna daripada Kementerian Komunikasi kerana setiap pelajar di sini amat memerlukan capaian Internet yang bagus bagi memudahkan kami menyiapkan projek dan tugasan.
“Penambahan access point ini sangat membantu meningkat kualiti Internet di kampus ini,” katanya lagi.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=x7YPcJ5ENbA&ra=m
