PETALING JAYA – Jualan runcit Malaysia hanya berkembang 2.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026, jauh lebih rendah berbanding unjuran awal 4.8 peratus, mencerminkan sikap lebih berhati-hati pengguna ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi.
Penganalisis CIMB Securities, Walter Aw Lik Hsin berkata, prestasi lebih lemah itu dipengaruhi sentimen pengguna yang berhati-hati susulan ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan inflasi akibat konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran.
Katanya, perkembangan itu berdasarkan laporan Malaysia Retail Industry Report oleh Retail Group Malaysia (RGM) yang diterbitkan pada September 2026.
“Pertumbuhan jualan runcit yang lebih perlahan itu berlaku walaupun suku tersebut mendapat manfaat daripada asas perbandingan lebih rendah pada suku sama tahun sebelumnya berikutan Ramadan.
“Namun, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lebih awal pada 2026 menyebabkan perbelanjaan selepas musim perayaan susut lebih ketara pada suku kedua tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut Walter, prestasi subsektor runcit pada suku kedua adalah bercampur dengan hanya tiga kategori merekodkan pertumbuhan jualan tahun ke tahun.
Fesyen dan aksesori mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak 12.9 peratus, diikuti penjagaan diri sebanyak 4.1 peratus dan farmasi sebanyak 3.7 peratus.
Katanya, pertumbuhan fesyen dan aksesori yang kukuh sebahagian besarnya didorong kesan asas perbandingan yang menggalakkan berikutan Hari Raya Aidilfitri 2025 yang jatuh pada penghujung Mac.
Sementara itu, kategori penjagaan diri dan farmasi terus mendapat manfaat daripada peningkatan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan, permintaan yang agak tidak anjal serta pilihan produk yang lebih luas dalam kalangan peruncit.
Sebaliknya, jualan gedung serbaneka merosot 7.2 peratus, gedung serbaneka berserta pasar raya susut 2.4 peratus, manakala pasar raya dan pasar raya besar menguncup 9.0 peratus.
Jualan kelengkapan rumah turut menurun 5.8 peratus, manakala kedai runcit khusus lain berkurangan 3.4 peratus.
Menurut Walter, perbezaan prestasi itu menunjukkan pengguna semakin selektif dalam berbelanja dengan isi rumah mengurangkan pembelian bersifat budi bicara dan lebih mengutamakan barangan keperluan harian.
Bagaimanapun, RGM mengekalkan unjuran pertumbuhan jualan runcit Malaysia pada 3.8 peratus bagi keseluruhan 2026, selain menjangkakan pertumbuhan meningkat kepada 4.7 peratus pada suku ketiga tahun ini.
Perkembangan itu menunjukkan prestasi sektor runcit masih bergantung kepada kekuatan perbelanjaan domestik, keadaan inflasi serta tahap keyakinan pengguna dalam tempoh berbaki tahun ini.
