KERAJAAN PERLUAS PERLINDUNGAN BIL ELEKTRIK HINGGA 800 kWj

Kerajaan MADANI memperluas tahap perlindungan subsidi bil elektrik pengguna domestik daripada600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan.

Berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah berkenaan merupakan tindakan segera kerajaan bagi menangani tekanan kos sara hidup.

Di mana ia susulan peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah.

Katanya, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan kini diberikan perlindungan.

Iaitu menerusi pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). 

“Melalui langkah ini, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan melibatkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.

PMX turut berkata, keadaan jerebu serta cuaca lebih panas sejak kebelakangan ini mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah sehingga penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan sebahagian pengguna berdepan kenaikan bil yang luar biasa apabila penggunaan melepasi paras perlindungan sebelum ini. 

Langkah berkenaan dilaksanakan susulan kebimbangan pengguna terhadap peningkatan bil elektrik.

Dengan kerajaan sebelum ini mengadakan mesyuarat khas bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan bagi meneliti langkah mitigasi segera. 

Ahli Parlimen Tambun itu turut merakamkan penghargaan kepada TNB, PETRA dan ST atas peranan mereka dalam membolehkan keputusan itu dilaksanakan dengan segera.

Dalam perkembangan berkaitan, TNB memaklumkan pengguna elektrik telah menerima rebat AFA berjumlah RM3.1 bilion sejak mekanisme itu diperkenalkan pada 1 Julai 2025, berbanding surcaj RM800 juta dalam tempoh sama. 

TNB turut menjelaskan AFA merupakan mekanisme dua hala yang mengambil kira perubahan kos bahan api dan kadar pertukaran mata wang asing.

Bukannya caj tambahan baharu yang disalurkan sebagai keuntungan kepada syarikat utiliti itu.

Untuk rekod, bagi September 2026, kadar AFA ditetapkan pada +3.67 sen bagi setiap kWj.

Manakala kadar berkenaan dikemas kini setiap bulan selepas pengesahan Suruhanjaya Tenaga. 

Sehubungan dengan itu, PMX yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa.

Ia bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira kemampuan rakyat, keterjaminan bekalan elektrik serta kemampanan sektor tenaga negara.

Kerajaan juga akan terus menilai mekanisme bantuan dan penyasaran subsidi bagi memastikan perlindungan diberikan kepada kumpulan yang memerlukan.

Khususnya ketika kos tenaga dan penggunaan isi rumah dipengaruhi keadaan cuaca semasa. 

Keputusan itu memperlihatkan tindakan segera kerajaan dalam menyesuaikan mekanisme perlindungan bil elektrik dengan keadaan semasa yang memberi tekanan kepada perbelanjaan isi rumah.

Langkah tersebut juga memberi ruang kepada pengguna domestik menikmati perlindungan lebih luas.

Di samping ketika kerajaan terus memantau kos bahan api dan pasaran tenaga bagi memastikan kepentingan rakyat diambil kira.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=OGhipRNAZxM&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *