KUALA LUMPUR – MyKad generasi baharu yang mula dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini tidak lagi menyediakan kemudahan Touch ’n Go.

JPN menerusi hantaran di media sosial memaklumkan pengguna masih boleh menggunakan perkhidmatan berkenaan melalui Touch ’n Go eWallet atau kad Touch ’n Go berasingan.

Menurut JPN, MyKad generasi baharu memberi fokus kepada fungsi utamanya sebagai dokumen pengenalan diri rasmi negara, selain dilengkapi ciri keselamatan dan teknologi yang dipertingkat.

Kad berkenaan mempunyai 53 ciri keselamatan, termasuk Hologram Keselamatan Dinamik dan Transparent Window pada bahagian hadapan, manakala Kod QR Penguatkuasaan serta Cip Antara Muka Dwi Fungsi ditempatkan di bahagian belakang.

Ciri keselamatan tersebut bertujuan memperkukuh proses pengesahan identiti serta mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.

Hologram Keselamatan Dinamik memaparkan imej tiga dimensi yang berubah mengikut sudut pandangan dan pencahayaan, manakala ciri ultraviolet (UV) membolehkan elemen keselamatan tertentu dilihat menggunakan sinaran UV.

MyKad baharu turut menggunakan corak guilloche, teks mikro dan lapisan polikarbonat bagi meningkatkan tahap keselamatan serta ketahanan kad terhadap suhu dan bahan kimia.

Dalam pada itu, pengeluaran MyKad generasi baharu boleh dilakukan di 40 cawangan JPNyang mempunyai pusat cetakan, dengan kad boleh disiapkan pada hari sama.

Bagi cawangan yang tidak mempunyai kemudahan cetakan, permohonan masih boleh dibuat dengan tempoh siap dalam lima hari bekerja.

Perubahan berkenaan menjadikan MyKad generasi baharu lebih tertumpu kepada fungsi pengenalan diri dan keselamatan, manakala kemudahan Touch ’n Go kini perlu digunakan melalui medium berasingan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *