RCI TH: REFORMASI, BUKAN SEKADAR TUDING JARI

Isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) tidak seharusnya berakhir dengan perdebatan politik semata-mata.Sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pembaharuan institusi yang mampu melindungi kepentingan jutaan pendeposit.

Pengerusi Daie Madani (DAMAI), Ustaz Amir Zuhair Abd Khalid berpandangan, antara perkara paling penting yang perlu diberi perhatian ialah pengukuhan tadbir urus, ketelusan keputusan pelaburan serta pemisahan yang lebih jelas antara kepentingan politik dengan pengurusan TH. Beliau turut mempersoalkan keputusan UMNO menjemput Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam program Musyawarah Nasional bagi membincangkan isu berkaitan RCI TH.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada UMNO mempunyai barisan pemimpin sendiri yang bersedia menjelaskan isu berkenaan kepada masyarakat.Amir Zuhair turut membangkitkan persoalan mengenai individu yang terlibat dalam pengurusan TH pada tempoh yang menjadi perhatian RCI. Termasuk sama ada mereka telah dipanggil untuk memberikan penjelasan serta pandangan berhubung perkara tersebut.

Dalam masa sama, beliau mendakwa antara persoalan yang perlu diteliti ialah amalan ‘creative accounting’ serta bagaimana pengiktirafan nilai aset dan keuntungan mempengaruhi kedudukan kewangan TH. Menurutnya, perbezaan antara keuntungan yang benar-benar direalisasikan dengan nilai yang masih belum direalisasikan perlu difahami dengan jelas kerana ia berkait rapat dengan kemampuan institusi membayar hibah atau agihan kepada pendeposit. Beliau juga membangkitkan persoalan berhubung beberapa keputusan pelaburan TH pada masa lalu.

Termasuk pelaburan yang mengalami kerugian. Serta sama ada keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pertimbangan profesional atau dipengaruhi pihak tertentu. Katanya, persoalan lebih besar bukan sekadar mengenai kerugian sesuatu pelaburan.

Tetapi bagaimana keputusan pelaburan dibuat, siapa yang bertanggungjawab dan apakah mekanisme semak dan imbang yang tersedia. Sehubungan itu, Amir Zuhair berpandangan Akta Tabung Haji 1995 perlu diperkukuh.

Khususnya bagi memastikan struktur pelantikan, kuasa lembaga pengarah dan pengurusan serta proses membuat keputusan institusi lebih terlindung daripada campur tangan politik. Beliau berkata, reformasi itu penting bagi mengelakkan kelemahan tadbir urus yang sama berulang serta memastikan kepentingan pendeposit sentiasa menjadi keutamaan.

Pada masa sama, beliau memberi amaran mengenai risiko ‘bank run’ sekiranya keyakinan pendeposit terhadap TH terhakis sehingga berlaku pengeluaran simpanan secara besar-besaran.Menurutnya, keyakinan masyarakat merupakan aset penting bagi institusi yang menguruskan simpanan umat Islam dan perlu dipelihara menerusi ketelusan serta akauntabiliti.Beliau turut menyentuh isu subsidi kos haji dan menegaskan konsep istita’ah atau kemampuan perlu menjadi asas dalam menentukan kewajipan seseorang menunaikan ibadah haji.

Katanya, seseorang yang belum mempunyai kemampuan kewangan tidak perlu memaksa diri semata-mata kerana mahu mendapatkan manfaat subsidi.Kesimpulannya, RCI TH tidak seharusnya dilihat hanya sebagai medan mencari siapa yang harus dipersalahkan. Lebih penting ialah memastikan setiap kelemahan yang dikenal pasti diterjemahkan kepada reformasi sebenar supaya TH lebih telus, profesional dan bebas daripada pengaruh yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *