Usaha untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serta memudah cara perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Keralam, antara fokus utama kunjungan hormat Ketua Menteri, V D Satheesan ke atas Perdana Menteri.
Negeri di selatan India itu merupakan destinasi kedua dilawati Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersempena lawatan kerja negara itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi serta lawatan sulung beliau ke Keralam sebagai Perdana Menteri.
Perbincangan berlangsung semasa kunjungan hormat Satheesan terhadap PMX di Calicut, yang diadakan selepas beliau tiba pada malam Ahad.
Di mana beliau menerima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abu Bakar, dalam satu majlis “Gathering of Honour Prime Minister Malaysia” di Markazu Saquafathi Sunniya, yang turut dikenali sebagai Jamia Markaz.
Menerusi hantaran di media sosial, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pertemuan itu memberi ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan.
Antaranya mengenai potensi besar Keralam dalam memperkukuh hubungan Malaysia-India, khususnya menerusi kerjasama ekonomi serta peningkatan perdagangan dan pelaburan.
Perbincangan tertumpu kepada kerjasama lebih erat kedua-dua pihak menerusi bidang pelancongan, ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pendidikan, perdagangan dan sektor bernilai tinggi yang lain.
“Kami turut meneroka peluang kerjasama dalam bidang ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan dan sektor bernilai tinggi.
“Hubungan perniagaan, pertukaran rakyat dengan rakyat serta jalinan sejarah dan budaya yang erat juga perlu terus diperkasa.
“Saya turut mengundang CM Satheesan untuk berkunjung ke Malaysia bagi meneruskan perbincangan ini dan menterjemahkan segala potensi yang ada kepada kerjasama yang lebih konkrit serta memanfaatkan rakyat kedua-dua negara,” katanya dipetik Harapan Madani.
Pertemuan berlangsung dalam suasana penuh mesra dengan PMX turut menyerahkan cenderahati khas mewakili Kerajaan Malaysia kepada Satheesan sebagai tanda kenangan buat kedua-dua pihak.
Turut hadir mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut bertemu Gabenor Keralam, Rajendra Vishwanath Arlekar sebelum mengadakan sidang media, sekali gus mengakhiri lawatan kerja lima hari ke negara itu.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=lr3XE_U0qao&ra=m
