PH TOLAK SAMAKAN PENGAMPUNAN ANWAR DAN NAJIB

Pakatan Harapan (PH) menolak dakwaan bahawa pendiriannya berhubung pengampunan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak tidak konsisten.

Terutamanya apabila dibandingkan dengan pengampunan penuh yang diterima Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 2018.

Ketua Wanita PH, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, perbandingan kedua-dua kes itu merupakan analogi yang tidak tepat.

Ini kerana terdapat perbezaan asas membabitkan bentuk pengampunan, latar belakang kes serta implikasinya terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.

Menurutnya, PMX menerima pengampunan penuh atas perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Sultan Muhammad V.

Ia juga selepas kes beliau dilihat mempunyai unsur salah laku keadilan dan penganiayaan politik.

“Kesan pengampunan penuh itu adalah memulihkan kedudukan serta hak beliau dari sudut undang-undang. 

“Ia berbeza dengan kes jenayah kolar putih atau rasuah yang telah melalui pelbagai peringkat mahkamah dan disokong bukti berkaitan penyelewengan dana awam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) berkata, permohonan pengampunan dalam kes sabitan rasuah atau salah guna kuasa tidak seharusnya disamakan dengan pembersihan nama mangsa penganiayaan politik.

Sebaliknya ia lebih menjurus kepada pengurangan atau peringanan hukuman atas dasar belas kasihan.

Tambahnya, tindakan mempersoalkan usaha membebaskan individu yang telah disabitkan atas kesalahan rasuah tidak bermaksud mempertikaikan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Sepang itu lagi, perkara itu berkait dengan tanggungjawab mempertahankan integrity institusi kehakiman.

Di samping memastikan hukuman terhadap kesalahan melibatkan wang rakyat tidak dipandang ringan.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari turut menegaskan proses yang dilalui Anwar pada 2018 berbeza dengan kes Najib.

Khususnya dari segi latar belakang perbicaraan dan pengalaman politik yang dilalui Anwar.

Di mana menurutnya, Anwar pernah dipenjarakan dua kali.

Selain didakwa berdepan campur tangan politik yang menjejaskan proses keadilan.

Manakala sabitan Najib telah melalui proses rayuan dan disahkan mahkamah.

“Najib juga telah diberi peluang memohon pengampunan dan mahkamah kemudiannya menangani isu yang berbangkit daripada pengampunan itu. 

“Kes ini sudah sepatutnya tamat dan berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mempersoalkan dakwaan wujud piawaian berbeza dalam pendirian PH berhubung pengampunan Najib berbanding pengampunan Anwar.

Abdul Aziz turut menambah, prinsip kesamarataan adalah antara asas Perlembagaan dan tidak sepatutnya ada mana-mana individu diberikan layanan Istimewa.

Berbanding banduan lain yang pernah berdepan proses undang-undang.

Tambahan lagi, katanya, proses pengampunan merupakan mekanisme perlembagaan yang boleh digunakan selepas proses undang-undang seperti rayuan selesai.

Manakala kuasa pengampunan pula merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menegaskan PH tidak mempertikaikan kedudukan serta kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya menghormati proses perlembagaan yang berkaitan dengan pengampunan dan keadilan.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=hPyGA3rQTrc&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *