MADANI TERKINI | LAWATAN KERJA PMX KE SABAH FOKUSKAN PERBINCANGAN AGENDA MA63

Jadual padat menanti Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang melakukan lawatan kerja selama dua hari ke Sabah bermula pada Khamis.

Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bersama para pemimpin dari Sabah dan Sarawak merupakan agenda utama lawatan kerja beliau.

Ia terutamanya bagi mengemas kini status perbincangan dan pelaksanaan setakat ini.

Jadual Perdana Menteri dimulakan dengan mengadakan perjumpaan dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah pada pukul 6 petang.

Ia disusuli dengan PMX menghadiri Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat MTPMA63 pada pukul 8 malam bertempat di Magellan Sutera Harbour bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Hari kedua beliau pula dimulakan dengan menghadiri Mesyuarat MTPMA63 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada pukul 8.30 pagi.

Mesyuarat itu turut dihadiri Hajiji, Abang Johari serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Tumpuan diberikan kepada pelbagai indikator penting antaranya status terkini Papan Pemuka (Dashboard) yang boleh diakses untuk orang awam mendapatkan maklumat status terkini setiap perkara dalam MA63.

Kali terakhir PMX mengadakan perbincangan MA63 bersama Hajiji dan Abang Johari ialah ketika menghadiri Rundingan Tahunan Pemimpin (ACL) Malaysia-Brunei di Bandar Seri Begawan bulan lalu.

Selesai mesyuarat, beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Likas sambil beramah mesra dengan jemaah setempat sebelum menikmati makan tengah hari.

Seterusnya, Ahli Parlimen Tambun itu mengadakan sesi lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa kebakaran Kampung Numbak di Dewan Serba Guna Damai, Kota Kinabalu pada jam 1.50 petang.

Lawatan terbabit memberi peluang kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk meninjau keadaan mangsa yang ditempatkan di PPS berikutan kejadian kebakaran di kampung berkenaan baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dijadual berlepas ke ibu negara selepas lawatan berkenaan.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=Qkd9mIsOH0M&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *