JDT PECAH REKOD LIGA, MALUKAN KELANTAN TRW 14-1

JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah baharu bola sepak negara apabila membelasah Kelantan The Real Warriors (TRW) 14-1 pada aksi terakhir Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam tadi.

Kemenangan besar itu bukan sahaja menjadi rekod kemenangan terbesar dalam sejarah Liga Super, malah menyaksikan skuad Harimau Selatan menyamai rekod dunia 108 perlawanan tanpa kalah dalam liga domestik yang pernah dilakar kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas antara tahun 1989 hingga 1994.

Penyerang sensasi JDT, Bergson Da Silva muncul bintang utama apabila meledak enam gol sekali gus membantu pasukan kendalian Xisco Munoz menutup musim dengan penuh bergaya.

JDT memulakan pesta gol seawal 50 saat permainan menerusi tandukan Bergson hasil hantaran silang Jonathan Silva sebelum penyerang kelahiran Brazil itu menambah jaringan kedua pada minit ke-11 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti.

Skuad Harimau Selatan terus garang apabila Manuel Hidalgo meledak hatrik manakala Antonio Glauder, Stuart Wilkin, Yago Cesar, Syamer Kutty Abba dan Teto Martin turut mencatat nama selaku penjaring.

Kelantan TRW yang dibimbing Zairul Fitree Ishak hanya mampu memperoleh gol saguhati menerusi Farris Izdiham Awang Kechik pada minit ke-64.

Kemenangan itu sekali gus memadam rekod lama kemenangan terbesar Liga Super yang sebelum ini dipegang Selangor FC selepas membelasah Kelantan FC 11-2 pada musim 2023.

Lebih membanggakan, JDT turut menamatkan musim tanpa kalah selepas mengharungi 24 perlawanan liga selain menjulang trofi Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut, sekali gus mengukuhkan dominasi mereka dalam arena bola sepak tempatan.

Dalam pada itu, aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pula menyaksikan Kuala Lumpur City FCterikat 2-2 dengan Negeri Sembilan FC dalam perlawanan dramatik yang dicemari dua kad merah.

Keputusan tersebut melengkapkan tirai saingan Liga Super musim ini dengan JDT sekali lagi membuktikan mereka masih berada dalam kelas tersendiri bola sepak Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *