MADANI TERKINI | PEKERJA ASING TERTAKLUK KEPADA SILING RMK13 DAN KEPERLUAN INDUSTRI

Kerajaan menafikan laporan yang Malaysia merancang dan bersetuju mahu mengambil 200,000 pekerja Bangladesh dalam tempoh enam bulan.

Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri R Ramanan berkata, sebarang keputusan pengambilan pekerja asing hanya akan ditentukan berdasarkan keperluan sebenar industri yang disahkan serta had ditetapkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata, jumlah 200,000 pekerja itu juga tidak menggambarkan keperluan semasa Malaysia ketika ini bahkan tempoh pengambilan dicadangkan juga tidak munasabah.

“Tidak masuk akal jika 200,000 pekerja akan diambil dalam tempoh enam bulan.

“Adakah itu bermakna lebih 1,000 rakyat Bangladesh perlu memasuki Malaysia setiap hari langsung tidak logik,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan memetik Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi Bangladesh, Mir Shahe Alam, sebagai berkata Malaysia akan mengambil kira-kira 200,000 pekerja Bangladesh secara berperingkat dalam tempoh enam bulan bermula akhir September.

Terdahulu, jurucakap kerajaan, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Timbalan Menteri Bangladesh itu tidak boleh dianggap sebagai pengumuman rasmi kerajaan Bangladesh.

Beliau juga dilaporkan berkata, Ramanan sudah memaklumkan kepadanya bahawa dakwaan berkenaan tidak mewakili pendirian Malaysia.

Sementara itu, Ramanan turut berkata, pengambilan pekerja asing akan dipertimbangkan mengikut sektor dan hanya bagi sektor benar-benar memerlukan tenaga kerja asing.

Malah katanya, setiap permohonan akan dinilai berdasarkan had ditetapkan Kementerian Ekonomi menerusi RMK13 sebelum dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

“Hanya apabila terdapat keperluan sebenar, perkara itu akan dinilai dan dibincangkan Jemaah Menteri,” ujarnya lagi dipetik Media Perpaduan.

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan keputusan berkaitan pengambilan pekerja asing dibuat secara terkawal dan bertanggungjawab berdasarkan keperluan sebenar ekonomi serta industri.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Buloh itu, kerajaan akan terus mengambil kira keperluan majikan dan sektor kritikal.

Di samping mengutamakan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia serta memastikan kebergantungan terhadap pekerja asing kekal dalam kerangka dasar yang diluluskan.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=S5TJ6Xt4G30&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *