PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memerlukan barisan kepimpinan yang benar-benar bersedia bekerja dan membawa pembaharuan, bukan sekadar mengejar kedudukan, menjelang pemilihan bagi melengkapkan baki penggal 2025-2029 pada 17 September ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, pemilihan kali ini amat penting bagi mengembalikan keyakinan terhadap badan induk bola sepak negara yang terjejas susulan beberapa kontroversi.
Menurutnya, calon yang bertanding perlu tampil dengan visi, misi dan perancangan tersendiri serta tidak bergantung kepada sokongan pakatan atau pengaruh tertentu.
“Kalau FAM berada di titik tertinggi, sekarang kita berada di titik paling rendah. Sebab itu kena pilih orang yang mahu buat kerja. Jangan hanya bercakap mengenai jawatan, tetapi tunjukkan apa yang boleh dilakukan untuk menaikkan semula bola sepak Malaysia.
“Tidak perlu bawa nama siapa yang menyokong atau membentuk pakatan. Bawa diri sendiri. Masing-masing kena jual perkhidmatan sendiri, misi dan visi. Kita mahu orang yang benar-benar mahu bekerja, bukan mencari makan dalam FAM,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Pemilihan kerusi presiden dijangka menjadi tumpuan apabila tiga nama dikaitkan dengan persaingan itu, iaitu Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin; Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Bagaimanapun, keputusan rasmi berhubung pencalonan mereka hanya akan diketahui selepas tempoh pengesahan menerima atau menolak pencalonan ditutup pada jam 5.30 petang ini, sebelum senarai calon diumumkan esok.
Difahamkan Hamidin tidak akan bertanding, sekali gus membuka kemungkinan persaingan satu lawan satu bagi jawatan nombor satu badan induk itu.
Persaingan bagi jawatan lain turut menyaksikan perubahan apabila dua calon bagi kerusi Naib Presiden 1 dikatakan menarik diri, menyebabkan hanya tiga nama kekal dalam perebutan.
Pemilihan itu berlangsung pada ketika FAM berdepan keperluan mendesak untuk memperkemas struktur organisasi dan tadbir urus susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain yang turut mengheret badan induk itu dalam tindakan FIFA.
Kontroversi berkenaan menjadi antara faktor yang memberi tekanan terhadap imej dan kredibiliti FAM sehingga menyaksikan barisan Jawatankuasa Eksekutif terdahulu meletakkan jawatan secara berjemaah.
Justeru, kepimpinan baharu bukan sahaja perlu memulihkan keyakinan terhadap FAM, malah memastikan aspek tadbir urus, ketelusan dan pembangunan bola sepak negara diberi keutamaan bagi membina semula asas yang lebih kukuh.
