PETALING JAYA – Situasi jerebu di beberapa kawasan negara semakin membimbangkan apabila 19 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat petang semalam.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Serian, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 191, menghampiri kategori sangat tidak sihat.
Sarawak menjadi negeri paling terjejas apabila Kuching turut mencatatkan IPU 181, diikuti Samarahan (173), Sri Aman (155), Bintulu (142) dan Mukah (141).
Di Selangor dan Wilayah Persekutuan, Johan Setia merekodkan bacaan 162, manakala Shah Alam (113), Cheras (109), Putrajaya dan Kuala Selangor masing-masing mencatatkan 108.
Di utara, Sungai Petani merekodkan IPU 154 dan Alor Setar 148 di Kedah, manakala Minden, Pulau Pinang mencatatkan 113.
Perak turut merekodkan bacaan tidak sihat di Seri Manjung dan Tasek Ipoh masing-masing dengan 148, selain Tanjung Malim (101).
Bukit Rambai, Melaka dan Kota Tinggi, Johor masing-masing mencatatkan bacaan 104 dan 107.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, yang boleh meningkatkan risiko kesihatan khususnya kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal di luar bangunan, terutama ketika bacaan IPU tinggi, serta memakai pelitup muka yang sesuai sekiranya perlu berada di kawasan terbuka.
