JAKARTA – Seorang pemandu bot terkejut apabila menemukan sejumlah wang kertas yang tergantung pada beberapa belon ketika terapung di sebuah tasik.
Kejadian itu dirakam dan dimuat naik ke Instagram oleh akaun @socialfeed_id, memaparkan lelaki berkenaan sedang berada di atas bot sebelum menyedari kewujudan beberapa belon bersama sepanduk yang terapung di permukaan air.
Selepas menghampiri objek berkenaan, dia mendapati beberapa keping wang kertas diikat pada tali yang bersambung dengan belon terbabit.
Wang yang ditemukan terdiri daripada denominasi 5,000 rupiah, 10,000 rupiah dan 20,000 rupiah, masing-masing bersamaan kira-kira RM1, RM2 dan RM5.
Tidak diketahui tujuan wang tersebut diikat pada belon atau bagaimana ia boleh terapung di kawasan tasik berkenaan.
Rakaman tersebut mendapat lebih 534,000 tontonan serta mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang menyifatkan penemuan itu sebagai rezeki tidak disangka-sangka.
“Definisi sebenar rezeki turun dari langit,” komen seorang netizen.
“Rezeki,” tulis seorang lagi pengguna.
