PETALING JAYA – Malaysia tidak berdepan ancaman besar gempa bumi meskipun gegaran daripada kejadian di Indonesia boleh dirasai di beberapa kawasan negara, khususnya Sabah.
Ketua Kluster Kelestarian dan Kesihatan Bumi, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, kebanyakan kejadian gempa bumi di Malaysia berintensiti rendah dan tidak menyebabkan kerosakan struktur bangunan atau mengancam nyawa.
Menurutnya, Malaysia terletak di atas kepingan tektonik Sunda yang relatif kurang aktif berbanding kawasan di sepanjang sempadan kepingan tektonik seperti Sumatera, Jawa, Filipina dan Jepun.
Beliau berkata, keadaan tektonik negara dijangka kekal tidak banyak berubah, manakala piawaian pembinaan sedia ada turut mampu menampung gegaran yang lazimnya dirasai di Malaysia.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kawasan tertentu di Sabah, khususnya Ranau dan Tawau, memerlukan pendekatan lebih khusus kerana berpotensi mengalami gempa bumi bermagnitud sederhana.
Sementara itu, Pensyarah dan Penyelidik Kejuruteraan Gempa Bumi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ir. Dr. Rozaina Ismail berkata, gempa susulan boleh berlaku selepas gempa utama dalam tempoh beberapa jam, hari atau minggu.
Namun, bilangan dan magnitud gempa susulan lazimnya berkurangan secara beransur-ansur dan masa serta lokasi tepat kejadiannya tidak dapat diramalkan.
Beliau berkata, gempa bumi bermagnitud 6.1 di Semenanjung Minahassa, Sulawesi kelmarin menyebabkan gegaran dirasai di beberapa kawasan pantai timur Sabah termasuk Tawau, Semporna dan Lahad Datu.
Katanya, risiko gempa bumi di Malaysia sememangnya lebih rendah berbanding Indonesia atau Jepun, tetapi tidak bermakna negara ini bebas sepenuhnya daripada ancaman tersebut.
Masyarakat disaran kekal tenang, namun tidak mengambil mudah kemungkinan gempa susulan dengan memberi perhatian kepada maklumat rasmi serta meningkatkan pengetahuan mengenai langkah keselamatan ketika berlaku gegaran.
