JANGAN TUNGGU KELOID MEMBESAR, RAWAT AWAL

KUALA LUMPUR – Keloid bukan sekadar parut biasa, sebaliknya terbentuk akibat tindak balas penyembuhan kulit yang tidak normal apabila penghasilan kolagen berlaku secara berlebihan sehingga menyebabkan tisu parut terus membesar melebihi kawasan luka asal.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, keadaan itu menyebabkan keloid kelihatan tebal, keras dan timbul, selain boleh disertai kegatalan, kemerahan serta kesakitan.

Menurutnya, berbeza dengan parut biasa yang lazimnya semakin pudar dan mengecil, keloid boleh terus membesar dan tidak akan mengecut dengan sendiri tanpa rawatan.

“Bagi keloid, kolagen dihasilkan terlalu banyak dan terus aktif sehingga menyebabkan tisu parut bertimbun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, keloid juga perlu dibezakan daripada parut hipertrofik yang turut kelihatan timbul dan kemerahan tetapi masih berada dalam kawasan luka asal serta lazimnya beransur-ansur berkurangan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Katanya, faktor genetik memainkan peranan besar dalam menentukan kecenderungan seseorang mengalami keloid, manakala individu berkulit lebih gelap turut mempunyai risiko lebih tinggi.

“Wanita sedikit lebih berisiko, khususnya ketika berlaku perubahan hormon, namun keloid boleh dialami lelaki dan individu daripada pelbagai peringkat usia,” katanya.

Dada antara kawasan yang kerap mengalami keloid berikutan ketegangan dan pergerakan kulit yang tinggi, selain bahu serta belakang.

Keloid juga boleh terbentuk akibat jerawat yang besar dan mengalami keradangan, selain luka pembedahan, suntikan, cacar air serta kecederaan pada kulit.

Dr. Hamidah berkata, rawatan wajar dipertimbangkan sekiranya luka yang sepatutnya sembuh dalam tempoh kira-kira dua minggu hingga sebulan masih merah, menebal atau mula timbul.

Menurutnya, keloid yang masih kecil lebih mudah dikawal berbanding parut yang sudah lama, besar dan keras.

Antara rawatan yang digunakan ialah suntikan steroid terus ke dalam keloid bagi membantu mengecilkan dan meratakannya, selain boleh digabungkan dengan rawatan laser tertentu seperti vascular laser.

Silikon gel dan silikon sheet pula boleh digunakan terutama untuk parut yang masih baharu, manakala rawatan seperti pembekuan atau pembedahan dipertimbangkan mengikut keadaan pesakit.

Bagaimanapun, pembedahan tidak menjamin keloid tidak berulang dan lazimnya memerlukan rawatan susulan bagi mengurangkan risiko pertumbuhan semula.

“Rawatan keloid biasanya perlu digabungkan. Kalau dibuang pun, masih perlu suntikan kerana ia boleh tumbuh semula,” katanya.

Beliau berkata, matlamat rawatan bukan semestinya menghilangkan keloid sepenuhnya, sebaliknya mengecilkan, meratakan dan mengawal pertumbuhannya.

Keloid yang lama dan keras juga mungkin memerlukan rawatan berulang dalam tempoh panjang, malah sesetengah kes mengambil masa bertahun-tahun untuk menunjukkan perubahan ketara.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menekan, mencucuk atau mengganggu keloid di rumah kerana tindakan itu boleh menyebabkan kerengsaan, kemerahan dan pertumbuhan parut menjadi lebih teruk.

Individu yang mempunyai sejarah keluarga keloid atau mendapati parut mula menebal dan timbul selepas luka disarankan mendapatkan pemeriksaan doktor lebih awal.

“Jangan tunggu sampai sudah besar kerana ketika itu ia lebih sukar untuk dirawat. Rawatan juga memerlukan komitmen kerana keloid bukan sesuatu yang boleh hilang dalam masa singkat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pesakit supaya mendapatkan rawatan lebih awal sekiranya keloid tumbuh berhampiran sendi kerana pertumbuhan parut yang berlebihan berpotensi mengganggu pergerakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *