SELAT HORMUZ KEMBALI TENANG?


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan keyakinan bahawa satu perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Iran berkemungkinan besar dapat dimuktamadkan dalam tempoh terdekat bagi menamatkan konflik yang menjejaskan kestabilan global sejak beberapa bulan lalu.

Trump berkata, rundingan yang berlangsung dalam tempoh 24 jam kebelakangan ini menunjukkan perkembangan positif, malah memberi bayangan bahawa persetujuan mungkin dicapai sebelum lawatan rasminya ke China minggu depan.

Menurut beliau, operasi ketenteraan dikenali sebagai “Epic Fury” akan dihentikan sekiranya Iran bersetuju mematuhi syarat yang dipersetujui termasuk isu berkaitan program nuklear dan keselamatan laluan perdagangan di Selat Hormuz.

Bagaimanapun, Trump memberi amaran bahawa pengeboman berskala besar akan disambung semula pada tahap lebih tinggi sekiranya Tehran menolak cadangan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Washington turut mengumumkan penangguhan sementara operasi mengiringi kapal dagang di Selat Hormuz bagi memberi ruang kepada usaha diplomatik diteruskan.

Selat Hormuz yang menjadi laluan hampir 20 peratus bekalan minyak dunia sebelum ini lumpuh akibat ketegangan ketenteraan antara kedua-dua negara sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap krisis tenaga global.

Laporan media antarabangsa menyebut AS dan Iran kini hampir mencapai memorandum persefahaman awal yang akan menjadi asas kepada rundingan lanjut berkaitan program nuklear Iran serta pengurangan sekatan ekonomi.

Antara fokus utama rundingan ialah usaha mengawal uranium diperkaya milik Iran selain memastikan laluan perdagangan di Selat Hormuz dibuka semula sepenuhnya.

Iran bagaimanapun masih belum memberikan persetujuan rasmi terhadap cadangan tersebut dan menegaskan haknya membangunkan teknologi nuklear bagi tujuan aman.

Dalam masa sama, pasaran global mula menunjukkan reaksi positif apabila harga minyak mentah dunia dilaporkan menurun susulan harapan terhadap kemungkinan tercapainya perjanjian damai antara kedua-dua negara.

Usaha diplomatik kini diteruskan dengan pengantaraan Pakistan dan beberapa negara lain dalam usaha meredakan konflik yang telah mengorbankan ribuan nyawa serta menjejaskan ekonomi dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *