PERLIS BURU 20 EMAS DI SUKMA SELANGOR

KANGAR – Kontinjen Perlis meletakkan sasaran meraih 20 pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini, sekali gus berpotensi mencatat pencapaian terbaik negeri itu dalam sejarah temasya berkenaan.

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, sasaran tersebut bukan satu tekanan kepada atlet, sebaliknya cabaran untuk membuktikan kemampuan mereka bersaing dengan atlet dari negeri lain di pentas kebangsaan.

Menurut beliau, keyakinan itu disandarkan kepada persiapan rapi yang dilakukan atlet serta komitmen Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis dan persatuan sukan dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi.

Beliau berkata, antara acara yang dijangka menjadi penyumbang utama pingat emas ialah angkat berat, wushu, silat, taekwondo, sepak takraw, berbasikal, olahraga dan gimrama.

“Saya berharap sasaran 20 pingat emas dapat direalisasikan. Kejayaan bermula apabila atlet berani dan yakin terhadap kemampuan diri sendiri,” katanya ketika Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Perlis sempena SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026.

Pada temasya kali ini, Perlis menghantar 379 atlet SUKMA dan 54 atlet Para SUKMA, dengan keseluruhan kontinjen termasuk pengurus pasukan, jurulatih, pegawai dan urus setia seramai 684 orang.

Abu Bakar turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih dan pegawai yang disifatkan sebagai tulang belakang kepada kejayaan atlet menerusi bimbingan serta pengorbanan sepanjang tempoh latihan.

Beliau yakin semua atlet kini berada pada tahap persediaan terbaik dari aspek fizikal, mental dan emosi menjelang saingan di Selangor.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan atlet supaya sentiasa menjaga disiplin, integriti dan semangat kesukanan sepanjang temasya berlangsung.

Katanya, atlet bukan sahaja perlu memburu kejayaan, malah perlu mempamerkan sahsiah terpuji serta menghormati pegawai pertandingan, lawan dan rakan sepasukan.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri akan terus memperkukuh pembangunan sukan menerusi MSN Perlis dan persatuan sukan bagi melahirkan lebih ramai atlet berkualiti yang mampu mengharumkan nama negeri serta negara pada masa hadapan.

Temasya Para SUKMA Selangor 2026 pula dijadual berlangsung dari 5 hingga 10 September depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *