LONJAKAN MINYAK GLOBAL TIDAK GUGAT HARGA RON95

Kerajaan menegaskan komitmennya untuk mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter walaupun harga minyak mentah dunia meningkat susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan tidak bercadang melakukan perubahan drastik terhadap dasar harga bahan api domestik ketika ini.

Menurutnya, kenaikan harga minyak mentah Brent yang mencecah AS$77.8 setong memberi kesan kepada hasil negara.

Namun pada masa sama meningkatkan komitmen subsidi yang perlu ditanggung kerajaan.

“Komitmen Perdana Menteri sangat jelas.

“Kita tidak akan membuat perubahan drastik terhadap harga RON95.

“Pasaran global memang berubah-ubah, tetapi dasar kita kekal berasaskan kestabilan dan kepentingan rakyat,” katanya dipetik Suara Keadilan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Forum CEO OGSE100 Tahun Ke-3 2026 di ibu negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan mempertahankan harga RON95 demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Termasuk melalui program Budi MADANI RON95 (BUDI95), meskipun pasaran minyak global berdepan ketidaktentuan akibat konflik di Timur Tengah dan sekatan ke atas Selat Hormuz.

Menurut Akmal Nasrullah lagi, mekanisme pelaksanaan komitmen tersebut masih diperincikan oleh Kementerian Kewangan Malaysia bagi memastikan implikasi fiskal dapat diurus secara berhemah.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan mencatatkan penjimatan subsidi diesel sebanyak RM4 bilion apabila perbelanjaan sebenar berkurang kepada RM6.2 bilion pada 2025 berbanding RM10.1 bilion pada 2024.

Menurut MOF, penjimatan itu hasil pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) yang bermula 10 Jun 2024.

Sekali gus berjaya mengurangkan ketirisan termasuk aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan oleh sektor tidak layak.

Pembelian diesel runcit di stesen minyak turut menurun kepada empat bilion liter pada 2025 berbanding tujuh bilion liter pada 2024, mencerminkan keberkesanan penyasaran subsidi.

Hasil penjimatan itu disalurkan semula kepada golongan memerlukan melalui inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta Bantuan Awal Persekolahan (BAP), selain memperkukuh jaringan perlindungan sosial.

Untuk rekod, sehingga Januari 2026, lebih 141,000 syarikat melibatkan 368,000 kenderaan menerima manfaat Program MySubsidi Diesel.

Manakala seramai 344,817 penerima memperoleh bantuan tunai di bawah BUDI Individu dan BUDI Agrikomoditi berjumlah RM1.05 bilion.

Kerajaan menegaskan subsidi secara pukal bukan penyelesaian jangka panjang kepada isu kos sara hidup.

Sebaliknya, pendekatan subsidi bersasar dilihat lebih berkesan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Dalam masa sama, kerajaan mengekalkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 hingga 4.5 peratus tahun ini, sambil terus memantau perkembangan ekonomi global.

Kerajaan juga memberi tumpuan kepada keselamatan tenaga negara melalui Pelan Hala Tuju Gas Asli dan pembangunan teknologi pemerangkapan, penggunaan serta penyimpanan karbon (CCUS) sebagai sebahagian agenda peralihan tenaga negara.

Secara keseluruhannya, pendirian kerajaan kekal jelas kestabilan harga bahan api domestik akan dipertahankan melalui pendekatan subsidi bersasar dan pengurusan fiskal berdisiplin, meskipun pasaran minyak global terus berdepan ketidaktentuan.

 

Pautan Video: LONJAKAN MINYAK GLOBAL TIDAK GUGAT HARGA RON95

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *