SHAH ALAM – Tempoh tambang percuma bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam serta bas perantara dan kemudahan Park N’ Ride dilanjutkan sehingga 14 Ogos 2026 bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengguna membiasakan diri dengan rangkaian pengangkutan awam baharu itu.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, lanjutan tempoh tersebut membolehkan orang ramai menikmati perjalanan secara percuma di sepanjang Laluan Shah Alam yang menghubungkan Johan Setia di Klang hingga ke Bandar Utama, Damansara menerusi 20 stesen.
Menurut Rapid KL, inisiatif itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos perjalanan harian pengguna, malah bertujuan menggalakkan lebih ramai masyarakat menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama untuk urusan harian.
Katanya, akses percuma turut merangkumi perkhidmatan bas perantara Laluan Shah Alam dan kemudahan Park N’ Ride di stesen-stesen terlibat bagi memudahkan perjalanan pengguna dari kawasan sekitar ke rangkaian LRT.
“Lanjutan tempoh ini dijangka meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kecekapan, keselesaan dan kebolehpercayaan sistem pengangkutan awam negara, selain memberi peluang kepada lebih ramai pengguna mencuba laluan baharu ini,” menurut kenyataan itu.
Perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer mula dibuka kepada orang ramai pada 29 Jun lalu, dengan pengumuman tambang percuma dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa majlis pelancarannya.
Sejak beroperasi, laluan tersebut menjadi penghubung penting antara Bandar Utama, Shah Alam, Klang dan Johan Setia, sekali gus memperkukuh jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang.
Selain memberi manfaat kepada dianggarkan dua juta penduduk di Lembah Klang, pembukaan laluan itu turut dijangka merancakkan aktiviti ekonomi setempat apabila kawasan sekitar 20 stesen berpotensi menerima peningkatan kehadiran pengguna dan pelanggan.
Rapid KL turut mengingatkan pengguna supaya mematuhi segala peraturan serta garis panduan yang ditetapkan ketika menggunakan perkhidmatan bagi memastikan perjalanan yang selamat, lancar dan selesa untuk semua.
