JELEBU – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Minum Petang Bersama Rakyat di Simpang Durian dilihat memberi suntikan moral kepada jentera Pakatan Harapan (PH) serta meningkatkan keyakinan pengundi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini.
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Anthony Loke Siew Fook berkata, program yang berlangsung di Parkir Mr. D.A.Y, Simpang Durian pada Rabu itu mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 1,000 orang hadir memenuhi ruang yang disediakan.
Menurut beliau, kehadiran Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri membuktikan komitmen kepimpinan pusat dalam memperkukuh sokongan kepada calon-calon PH di Negeri Sembilan, khususnya di kawasan yang menyaksikan persaingan sengit.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa hadir ke Simpang Durian. Kehadiran beliau memberi suntikan semangat yang tinggi kepada seluruh jentera PH dalam usaha mempertahankan sokongan rakyat di DUN Chennah,” katanya pada sidang media selepas program berkenaan.
Anthony berkata, penyertaan masyarakat Orang Asli dalam program itu amat penting kerana mereka berpeluang mendengar sendiri penjelasan Perdana Menteri berhubung dakwaan kononnya peruntukan kepada kampung Orang Asli akan dihentikan sekiranya PH terus diberi mandat mentadbir.
Beliau menegaskan dakwaan tersebut adalah propaganda politik yang tidak berasas kerana semua peruntukan pembangunan dan kebajikan disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan mengikut dasar serta undang-undang, bukannya berdasarkan keputusan pilihan raya.
“Perdana Menteri sendiri telah memberi jaminan bahawa peruntukan kepada kampung Orang Asli tidak akan terjejas. Kerajaan Persekutuan kekal komited meneruskan pembangunan masyarakat Orang Asli melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya.
Anthony berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan masyarakat Orang Asli membuat keputusan berdasarkan fakta, bukannya dipengaruhi khabar angin atau ugutan politik yang sengaja dimainkan sepanjang kempen.
Beliau turut mengingatkan bahawa pilihan raya seharusnya berlangsung secara matang dengan persaingan berasaskan dasar dan rekod pentadbiran, bukannya melalui penyebaran fitnah atau unsur menakut-nakutkan pengundi.
Dalam ucapannya, Anthony turut menyangkal pelbagai dakwaan yang dimainkan pihak tertentu termasuk kononnya orang Melayu akan kehilangan kuasa, beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan atau PH akan mengganggu institusi raja-raja Melayu sekiranya memenangi PRN.
Menurut beliau, semua dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana Perdana Menteri kekal Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan akan terus disandang pemimpin Melayu seperti yang diperuntukkan dalam sistem pentadbiran sedia ada.
Beliau berkata, kerajaan perpaduan akan terus memastikan pembangunan, kebajikan dan peruntukan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, termasuk komuniti Orang Asli, sekiranya PH terus diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.
